ARTIKEL

Johnny Pang mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan mengenai cadangan pembinaan Arena Sukan Bintulu.

Bintulu perlu kemudahan sukan bertaraf moden

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Keperluan terhadap kemudahan sukan yang lebih komprehensif dan moden di Bintulu semakin mendesak seiring pertumbuhan pesat bandar ini serta peningkatan penyertaan masyarakat dalam pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.

Justeru, cadangan pembangunan sebuah Arena Sukan Serbaguna (Sport Arena) dilihat mampu menjadi penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi permintaan terhadap kemudahan sukan yang lebih lengkap, selain menyokong pembangunan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, Bintulu memerlukan sebuah kemudahan sukan bertaraf moden yang mampu menampung keperluan semasa dan masa depan, sejajar dengan perkembangan pesat kawasan itu sebagai antara pusat pertumbuhan utama di Sarawak.

Menurut beliau, peningkatan jumlah penduduk serta minat masyarakat terhadap pelbagai jenis sukan seperti larian, bola keranjang, badminton, futsal dan pickleball membuktikan bahawa kemudahan sedia ada perlu diperkukuhkan bagi menyokong perkembangan sektor sukan tempatan.

“Bintulu semakin berkembang dan kita dapat melihat semakin ramai masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai jenis sukan, oleh itu, permintaan terhadap kemudahan sukan yang lebih baik dan menyeluruh juga semakin meningkat,” katanya.

“Sebab itu saya berharap kita dapat merancang sebuah Sport Arena yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, tetapi turut mengambil kira keperluan Bintulu pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama wakil Perbadanan Sukan Sarawak, agensi sukan berkaitan di Bintulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkepentingan lain bagi membincangkan cadangan awal pembangunan kemudahan tersebut.

Menurut Johnny Pang, sesi perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan serta input profesional berkaitan konsep pembangunan arena berkenaan termasuk aspek reka bentuk, fungsi dan keperluan kemudahan yang perlu disediakan.

Beliau berkata, pembangunan sebuah arena sukan berskala besar memerlukan penelitian menyeluruh melibatkan pelbagai aspek termasuk pemilihan lokasi strategik, reka bentuk yang praktikal, kos pembinaan, model pembiayaan serta penyelarasan antara agensi berkaitan.

“Walaupun projek itu masih di peringkat awal perancangan, usaha untuk merealisasikannya perlu diteruskan secara berperingkat melalui perancangan yang rapi dan berstruktur,” katanya.

“Daripada idea kepada sesuatu yang benar-benar boleh dilaksanakan, masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, namun saya mahu kita terus bergerak ke hadapan, langkah demi langkah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, arena yang dicadangkan tidak seharusnya berfungsi sebagai venue pertandingan semata-mata, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai sebuah pusat komuniti yang aktif dan sentiasa digunakan oleh masyarakat.

Menurutnya, kemudahan tersebut berpotensi menjadi lokasi bagi pelbagai program pembangunan sukan, aktiviti belia, acara komuniti serta penganjuran kejohanan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Apabila tiada kejohanan, saya mahu tempat ini tetap digunakan, keluarga boleh datang bersukan, golongan muda boleh menjalankan aktiviti, manakala komuniti boleh berkumpul dan berinteraksi,” katanya.

“Dengan pendekatan ini, Sport Arena bukan sahaja menjadi tempat untuk bersukan, tetapi turut menjadi ruang yang menyatukan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa pembangunan kemudahan sukan pada masa depan perlu mengambil kira perubahan trend sukan yang sentiasa berkembang serta keperluan generasi baharu bagi memastikan pelaburan yang dibuat terus relevan dalam tempoh jangka panjang.

Katanya, perancangan yang baik sejak peringkat awal amat penting bagi memastikan arena yang bakal dibina benar-benar memenuhi kehendak rakyat serta mampu memberi impak besar kepada pembangunan sukan dan kesejahteraan komuniti di Bintulu.

“Saya berharap suatu hari nanti kita bukan sekadar mempunyai sebuah Sport Arena, tetapi sebuah tempat yang benar-benar menjadi milik rakyat Bintulu — tempat untuk bersukan, berinteraksi dan membina generasi akan datang,” katanya.

“Jika kita mahu membinanya, biarlah kita kumpulkan idea terbaik dan merancangnya dengan betul dari awal supaya apa yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan Bintulu untuk masa kini dan masa depan,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU