SPL 2026
KUCHING: Juara bertahan, Bintulu membawa bekalan tipis ke aksi suku akhir kedua Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) selepas menewaskan ATM 1-0 di Padang Perumahan, Jalan Astana, petang tadi.
Penyerang Bintulu, Mohd. Morizad Morni muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-80.
Kemenangan itu memberikan kelebihan kepada anak buah Farhan Abdullah @ Anai Igang menjelang aksi timbal balik di Bintulu pada Sabtu depan, 17 Oktober.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA), Haji Sophie Shariee, melahirkan rasa gembira atas kemenangan yang diraih pasukan itu.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pemain kerana berjaya membawa pulang kemenangan meskipun berdepan tentangan sengit daripada ATM.
Katanya, kelebihan satu gol itu menjadi bekalan penting buat Bintulu untuk menghadapi perlawanan kedua di laman sendiri.
Ketua jurulatih Bintulu, Farhan Abdullah @ Anai Igang, turut berpuas hati dengan kemenangan itu meskipun mengakui pemainnya berdepan tekanan hebat daripada ATM.
Beliau berkata, barisan pemain berjaya mengawal keadaan dengan tenang ketika diasak lawan sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, Farhan mengakui prestasi pasukannya belum mencapai tahap sebenar berikutan pemain kurang rehat selepas menempuh perjalanan jauh dari Bintulu ke Kuching, selain ketiadaan beberapa tonggak utama.



