KUCHING: Perjalanan hidup, perjuangan politik dan legasi kepimpinan Datuk Lily Yong Lee Lee yang menjangkau puluhan tahun dalam perkhidmatan awam dan pembangunan masyarakat akan diabadikan menerusi pelancaran biografi Lily Yong Lee Lee: Breaking Barriers, Building Bridges di Theatre Hotel Kuching pada 30 Julai ini.
Biografi yang ditulis oleh penulis veteran Leonard Sabu itu merakamkan kisah seorang wanita yang berjaya menembusi pelbagai cabaran dalam dunia politik dan kepimpinan, sekali gus muncul sebagai antara tokoh wanita paling disegani di Sarawak.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran sebuah lagi penerbitan bertajuk Captain of Her Own Journey yang melengkapkan dokumentasi perjalanan hidup tokoh berkenaan.
Sebagai bekas Pengerusi Wanita SUPP Sarawak dan Pengerusi Cawangan SUPP Kuching, Lily Yong dikenali sebagai pemimpin yang memperjuangkan pembangunan masyarakat, pemerkasaan wanita serta penglibatan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut Leonard, karya tersebut bukan sekadar merakamkan pencapaian politik Lily Yong, malah menelusuri sisi peribadi dan nilai kepimpinan yang membentuk perjalanan beliau sepanjang beberapa dekad dalam perkhidmatan awam.
Katanya, pembaca akan dibawa menyusuri pengalaman hidup Lily Yong bermula dari zaman awal kehidupannya sehingga terlibat secara aktif dalam arena politik dan khidmat masyarakat.
Melalui gabungan pengalaman peribadi, catatan sejarah dan refleksi perjalanan hidup, buku itu memberi gambaran menyeluruh mengenai cabaran yang dihadapi, keputusan yang dibuat serta hubungan yang dibina dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat.
Biografi berkenaan turut mengupas pelbagai ujian dan cabaran yang pernah menguji ketabahan serta kewibawaan beliau sebagai pemimpin, namun pada masa sama menonjolkan integriti, keteguhan prinsip dan daya tahan sebagai kekuatan utama yang membolehkan beliau terus berkhidmat.
Salah satu keistimewaan buku tersebut ialah penekanannya terhadap pembangunan kepimpinan dalam kalangan generasi muda melalui perkongsian pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang perjalanan hidup Lily Yong.
Antara nilai utama yang diketengahkan ialah kepentingan integriti sebagai asas kepimpinan yang dipercayai, empati dalam memahami pelbagai perspektif masyarakat, ketabahan dalam menghadapi cabaran serta penglibatan komuniti sebagai pemangkin perubahan sosial yang mampan.
Setiap nilai itu diperjelaskan menerusi pengalaman sebenar yang dilalui beliau, sekali gus menjadikan buku berkenaan bukan sekadar catatan sejarah, tetapi panduan praktikal kepada bakal pemimpin masa depan.
Leonard berkata biografi tersebut dihasilkan dengan harapan dapat menginspirasikan masyarakat untuk melihat kepimpinan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang melangkaui jawatan serta kedudukan.
“Perjalanan Datuk Lily Yong membuktikan bahawa kepimpinan yang bermakna tidak diukur melalui jawatan atau pengiktirafan semata-mata, tetapi melalui integriti, keberanian dan impak positif yang ditinggalkan kepada masyarakat.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau menunjukkan bahawa jambatan perpaduan, persefahaman dan kemajuan boleh dibina apabila seseorang pemimpin berpegang teguh kepada prinsip serta nilai kemanusiaan,” katanya.
Biografi itu turut mengajak generasi muda untuk berani tampil memimpin, berkhidmat dengan penuh rendah hati dan percaya bahawa perubahan bermakna boleh dicetuskan oleh individu yang sanggup berkorban demi masyarakat.
Majlis pelancaran rasmi kedua-dua buku tersebut dijangka menghimpunkan pemimpin kerajaan, ahli akademik, tokoh korporat, pertubuhan masyarakat sivil, pengamal media dan pelbagai lapisan masyarakat dalam meraikan penerbitan yang merakam satu bab penting sejarah kontemporari Sarawak.



