KUCHING: “Biskut buatan tangan kami halal,” demikian kata Anchong Tan Ling yang merupakan pengusaha Wee Lee Homemade Seasonal Cookies.
Menurut wanita berusia 52 tahun itu, sudah 30 tahun ibunya mengusahakan perniagaan tersebut.
“Sekarang ibu saya sudah tua, dan tidak mahu menjalankan perniagaan ini lagi. Jadi sekarang saya yang meneruskannya.
“Biskut kami ini buatan sendiri tetapi ia halal, dan sudah pasti mempunyai sijil halal kerana kami juga membekalkannya ke Sri Aman, Serian, Bau, Asajaya, Batang Ai dan lain-lain.
“Bagaimanapun, ini kali pertama kami menyertai Majma Raya Fest 2023 dan berharap ia mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, kelmarin.

Sementara itu, suaminya Jan Chun Hoong, 50, memaklumkan mereka mendapat maklumat mengenai acara jualan tersebut menerusi iklan dan terus menghubungi nombor tertera untuk menyertainya.
“Sudah pasti kami perlu mengisi maklumat syarikat, menunjukkan sijil halal dan sebagainya selepas itu permohonan kami diterima,” ujarnya.
Menjelaskan mengenai sambutan, kata Chun Hoong, setakat ini ada pelanggan yang datang dan melihat biskut yang kami tawarkan di gerai.
“Untuk harga biskut, kami menawarkannya dengan harga serendah RM4 hingga paling tinggi RM35,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai biskut buatan tangan keluaran Wee Lee Homemade boleh menghubungi nombor 018-9673198.
Sementara itu, jurujual Airzah Alias & Faz Alias iaitu Norida Osman, 30, memaklumkan perniagaan baju raya di gerai mereka mendapat sambutan menggalakkan sejak hari pertama lagi.
“Meskipun baru dua hari beroperasi iaitu sejak 23 Mac lalu, Alhamdulillah kami berjaya menjual 10 pasang baju raya.
“Biasanya pelanggan juga akan datang berkunjung selepas waktu berbuka puasa.
Kami menjangkakan pada minggu gaji nanti mungkin lebih ramai pelanggan yang datang, termasuk pada minggu akhir Ramadan.
“Ini tahun kedua kami berada di sini, dan selalunya kami akan membawa masuk tiga kali stok baju sepanjang Ramadan ini,”
Dalam pada itu, Norida memberitahu baju yang ditawarkan oleh butik tersebut bukan hanya sesuai untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga untuk pergi ke pejabat dan pelajar.
“Selepas Hari Raya kelak, baju ini juga sesuai digunakan untuk ke pejabat dan pelajar pergi ke kelas.
“Istimewanya, sekiranya pelanggan membeli dua pasang baju, kami akan memberikan potongan harga tanpa diminta dan jumlahnya bergantung kepada harga baju tersebut.
“Manakala harga baju yang kami tawarkan pula bermula serendah RM79 hingga RM150 sahaja.
Jadi ia mampu milik,” tegasnya.
Untuk mendapatkan maklumat mengenai baju raya yang ditawarkan Airzah Alias & Faz Alias boleh melayari Facebook dan Instagram Airzah Alias atau Instagram (iamfazerina) termasuk Facebook (Nor Fazerian Alias).