BKSS: Daftar PBT dan layak terima bantuan

KUCHING: Penjaja dan peniaga kecil yang tidak mempunyai permit dan lesen perlu mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melayakkan mereka menerima geran khas berjumlah RM1,500 di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) semalam, penerima geran khas terbabit akan disalurkan kepada penjaja dan peniaga kecil yang mempunyai lesen dengan PBT.

“Mereka tidak mempunyai lesen dan permit perlu mendaftar dengan PBT untuk mendapatkan geran khas terbabit dengan mengisi borang secara manual atau atas talian.

“Borang boleh diperolehi kaunter perkhidmatan di PBT yang berhampiran apabila pendaftaran dibuka sehingga 31 Mei,” katanya.

Ukas menambah, pertimbangan akan dibuat berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh PBT. “Justeru, pembayaran ke akaun Sarawak Pay akan dikredit kepada setiap penerima setelah mengemukakan maklumat lengkap. Bagi yang layak tetapi baru mendaftar, mereka akan menerima geran pada fasa kedua.

“Pembayaran fasa pertama berjumlah RM750 dibuat mulai April atau Mei manakala bakinya, RM750 dibayar pada fasa kedua mulai Jun atau Julai,” jelasnya.

Katanya, pembayaran dilakukan melalui dua kaedah iaitu, jika penjaja atau peniaga itu mempunyai lesen perniagaan dan akaun Sarawak Pay yang disahkan sebelum 15 April, bayaran akan dikreditkan ke akaun Sarawak Pay mulai 23 April.

Namun, jika penjaja atau peniaga mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak dapat mendaftar dalam akaun Sarawak Pay atas sebab yang munasabah dan boleh diterima, bayaran tunai boleh dituntut dari Bank Simpanan Nasional (BSN) berhampiran dengan mengemukakan kad pengenalan dan lesen perniagaan mulai Mei depan.

“Kaedah kedua pula, sekiranya penjaja dan peniaga telah mendapat permit seperti yang ditetapkan oleh PBT dan mempunyai akaun Sarawak Pay yang disahkan sebelum 31 Mei, bayaran akan dikreditkan ke akaun Sarawak Pay mulai Jun.

“Bayaran tunai juga boleh dituntut di BSN berhampiran dengan mengemukakan kad pengenalan dan permit perniagaan mulai Jun,” ujarnya. Aplikasi Sarawak Pay boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple Store.