PHNOM PENH: Di sebalik pergolakan zon konflik dan krisis kemanusiaan, bola sepak bertindak sebagai sumber harapan, pemulihan, dan hubungan sosial bagi jutaan kanak-kanak yang terjejas. Sukan ini amat bermakna dalam membantu mereka mengatasi trauma serta membina semula kehidupan yang stabil di tengah-tengah pergolakan dan kehilangan.
Badan kebajikan Save the Children mendedahkan bahawa seorang daripada setiap lima kanak-kanak di dunia kini hidup di kawasan konflik. Pertubuhan itu menambah, lebih 200 juta kanak-kanak amat memerlukan sokongan kritikal tahun ini untuk bertahan dan bangkit daripada krisis sedia ada, sama ada akibat peperangan, bencana alam, kecemasan iklim, atau ancaman pandemik.
“Bola sepak memang menyeronokkan tetapi bagi kanak-kanak yang hidup dalam keadaan krisis atau kecemasan, ia adalah satu bentuk permainan yang memberi mereka tumpuan, berehat daripada realiti pahit dalam kehidupan seharian mereka.
“Satu aktiviti dan tempat untuk berhubung semula dengan rakan sebaya mereka dan rasa kemandirian, membantu mereka memproses pengalaman mereka dan membina semula komuniti, bahagian penting dalam mencari harapan untuk masa depan yang lebih baik,” kata Penasihat Pendidikan Kanan di Save the Children, Arlo Kitchingman, dalam satu kenyataan akhbar.
Save the Children telah melancarkan program berasaskan bola sepak, dengan ruang mesra kanak-kanak, untuk membawa harapan dan rasa kepunyaan kanak-kanak yang terperangkap oleh peperangan, konflik dan krisis kemanusiaan.
“Ketika dunia bersedia untuk menonton Piala Dunia 2026, di padang sementara merentasi kem pelarian dan dalam komuniti yang terjejas akibat konflik di seluruh dunia, bola sepak membantu kanak-kanak untuk kekal selamat dan mula pulih daripada trauma,” menurut kenyataan akhbar Save the Children.
Dalam beberapa persekitaran yang paling sukar di dunia, dari Sudan ke Ukraine ke Lubnan, bola sepak menyediakan lebih daripada sekadar hiburan.
Ia membantu kanak-kanak untuk kekal selamat, memproses trauma dan memulihkan rasa zaman kanak-kanak, menurut organisasi itu. – Bernama



