SADONG JAYA: Sebanyak 40 pasukan akan berentap bagi memburu gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Terbuka Piala Datuk Ir Aidel Lariwoo (Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan/Pembangunan Infrastruktur) Edisi Ke-4 2026 yang akan disingkap tirainya di padang bola sepak Kampung Semera Lot, Sadong Jaya Sabtu ini.
Himpunan pasukan terbabit yang mewakili pelbagai kelab handalan dari Sadong Jaya, Asajaya, Kuching dan sekitarnya.
Pengerusi Kejohanan, Musa Ujang memberitahu, sesi taklimat dan cabutan undi telah berlangsung semalam.
Sekali gus, memperlihatkan jumlah 40 pasukan terlibat diketahui sepenuhnya.
“Senarai muktamad 40 pasukan yang turut serta telah diketahui sepenuhnya semalam.
“Pasukan yang bersaing kali ini mewakili pelbagai kelab handalan,” ujar Musa kepada Arena Suara Sarawak.
Sambil menyatakan majlis perasmian kejohanan berprestij itu berlangsung Sabtu ini dan akan disempurnakan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo sendiri.
Musa menegaskan, kejohanan kali ini yang menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan RM14,000.
“Pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM6,000 beserta piala dan pingat.
“Naib juara akan menerima wang tunai RM4,000, piala termasuk pingat,” tegasnya.
Sementara itu, dua pasukan yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM2,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Kejohanan terbabit dianjur dengan kerjasama Kaslo FC, Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Slot dan Ranting PBB Semera Lot.



