SELANGOR: Pasukan bola tampar lelaki Sarawak gagal ke final selepas tewas 0-3 (20-25, 16-25, 15-25) kepada Selangor pada aksi separuh akhir di Dewan Besar Tanjung MBSA, petang tadi.
Turun sebagai tuan rumah, Selangor berdepan tentangan sengit daripada pemain Sarawak terutama pada set pertama sebelum menguasai dua set berikutnya.
Ketua Jurulatih Sarawak, Sanong Kulchim mengakui anak buahnya telah memberikan segala-galanya pada peringkat awal, namun gagal mengekalkan momentum sehingga tamat perlawanan.
“Saya dapat lihat prestasi anak buah saya hari ini tidak benar-benar 100 peratus, tetapi tiga daripada mereka berada pada prestasi terbaik.
“Kami cuba sedaya upaya untuk bermain dengan baik, tetapi masih gagal mengekang pemain tuan rumah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sanong mahu anak buahnya melupakan kekecewaan itu dan kembali fokus bagi menghadapi perlawanan penentuan pingat gangsa esok.



