KUCHING: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengeluarkan seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Stutong Baru 14B, Taman Centurion 1, sebentar tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 7.05 malam itu, mangsa,74, telah terperangkap di dalam rumah dua tingkat berkenaan yang terbakar 40 peratus di tingkat atas.
“Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan penyelamat dan dibawa ke tempat selamat namun masih tidak sedarkan diri.
“Anggota EMRS berusaha melakukan CPR terhadap mangsa sementara menunggu ketibaan paramedik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah setelah paramedik dari Hospital Umum Sarawak tiba, mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans ke hospital untuk tindakan lanjut.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Batu Lintang kini sedang menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi kejadian.


