Bomba Sarikei aktif curah ilmu

SARIKEI: Pendedahan keselamatan kebakaran di kawasan sekolah amat penting bagi membolehkan tindakan awal untuk melindungi keselamatan nyawa dan harta benda.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Naruddin berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian ussha berterusan Bomba menyedarkan masyarakat pentingnya budaya mencegah kebakaran.

Pada masa yang sama katanya, ia juga bermatlamat memberi penerangan kepada peserta mengenai langkah keselamatan dan pencegahan ketika berlaku kecemasan.

“Aktiviti pendidikan dilaksanakan Balai Bomba Sarikei ini merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda bermula daripada peringkat pra sekolah, ” katanya kepada wartawan.

Baru- baru ini, JBPM Sarikei mengadakan ceramah keselamatan kebakaran dan demonstrasi Alat Pemadam Api ( APA ) di Tadika St Clement.

Murid teruja melihat peralatan menyelamat yang dipamerkan jentera bomba.

Program yang dihadiri 208 orang murid dan 11 guru itu merupakan salah satu langkah proaktif Bomba bagi memastikan keselamatan di persekitaran sekolah.

Menurut Mahmudin, ilmu yang diperoleh daripada program berkenaan dapat dimanfaatkan peserta pada bila-bila masa terutama ketika berlaku musibah.

Beliau berkata, program itu juga memberi pengalaman kepada kanak-kanak merasai sendiri teknik dan cara memadam menggunakan alat pemadam api dengan betul.

Katanya, demonstrasi itu dilakukan di bawah kawalsedia seorang pegawai Bomba Kanan II dan dibantu oleh dua anggota.

“Jika aspek keselamatan diberi penekanan, pastinya kita dapat mengelak atau mengurangkan risiko terjadinya kebakaran,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau gembira dengan komitmen padu anggota yang membantu menjayakan pelbagai program dan kempen kesedaran kepada masyarakat.

Anggota menunjukkan cara penggunaan APA kepada salah seorang guru.

Suara Sarawak