SPAOH: Sebahagian besar kawasan hutan gambut dan kebun sawit yang terbakar sejak 22 Ogos lalu di Jalan Bungin, Serembang dekat sini, berjaya dipadamkan.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman), Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, keseluruhan kawasan yang terjejas akibat kebakaran itu dianggarkan seluas 35 hektar.
“Setakat ini, kawasan seluas 34.8 hektar telah berjaya dipadamkan dan hanya kira-kira 0.5 hektar masih terbakar, membabitkan Sektor A dan C,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman bagaimanapun berdepan beberapa cabaran, terutama keadaan muka bumi serta akses ke lokasi kebakaran yang sukar.
“Antara cabaran utama yang dihadapi pasukan pemadam ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui.
“Selain itu, tiada sumber air berhampiran kawasan terbakar, manakala litupan rangkaian GIRN serta rangkaian telefon juga kurang memuaskan,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan bomba serta agensi lain akan terus menjalankan pemantauan dan operasi pemadaman bagi memastikan kawasan yang masih terbakar dapat dipadamkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Muhammad Rais mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama ketika keadaan cuaca panas dan musim kemarau yang sedang melanda.
Katanya, tindakan berkenaan bukan sahaja boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas, malah menyukarkan usaha pasukan penyelamat mengawal kebakaran di kawasan gambut dan kebun.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.



