KUCHING: Kejayaan Festival Muzik Borderland 2026 menarik ribuan pengunjung dalam tempoh empat edisi membuktikan Sarawak mempunyai potensi besar untuk melahirkan festival muzik bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, Borderland berpotensi menjadi satu lagi jenama pelancongan berasaskan muzik di Sarawak selain Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).
Menurutnya, penganjuran festival itu menunjukkan penganjur mempunyai visi besar untuk mengembangkan Borderland ke tahap yang lebih tinggi, termasuk mengambil inspirasi daripada kejayaan Tomorrowland di Belgium.
“Ini baru tahun keempat dan mereka sudah mempunyai visi.
“Kalau kita lihat kejayaan Tomorrowland, mereka cuba mencontohi konsep tersebut.
“Saya melihat Borderland boleh menjadi satu jenama baharu pada masa depan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung dan menyatukan mereka melalui muzik,” katanya ketika ditemui pada Festival Muzik Borderland di Kampung Budaya Sarawak (SCV), malam tadi.
Snowdan berkata, sambutan terhadap festival itu tahun ini amat menggalakkan apabila kira-kira 9,000 pengunjung hadir pada malam pertama festival berkenaan.
Katanya, jumlah itu berpotensi meningkat pada malam kedua festival yang berlangsung hari ini, memandangkan hari ini ialah Sabtu.
“Saya dapat melihat sambutan yang sangat besar, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Bukan golongan muda sahaja, malah ramai golongan profesional turut hadir kerana mereka juga meminati muzik seperti ini.
“Kadang-kadang muzik mampu menyatukan kita,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Borderland terus berkembang, festival berkenaan berpotensi menarik pengunjung bukan sahaja dari Kuching dan Sarawak, malah dari luar negeri serta antarabangsa.
Menurutnya, perkembangan itu secara tidak langsung mampu merancakkan sektor pelancongan Sarawak menerusi kemasukan pengunjung yang hadir khusus untuk festival berkenaan.
Snowdan berkata, perkara yang sama dapat dilihat menerusi Tomorrowland yang berjaya menarik puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia.
“Tomorrowland di Belgium boleh menarik puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia dan perkara itu secara automatik membantu meningkatkan sektor pelancongan.
“Jadi, saya percaya Borderland juga mempunyai potensi untuk berkembang ke arah itu pada masa depan,” katanya.



