BETONG: Warisan gula apong terus diberi nafas baharu menerusi projek keusahawanan sosial Emas Pusa Gula Apong Premium dan penghasilan produk inovasi Apong Bar oleh kumpulan Borneo Legacy, dengan penglibatan pelajar Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS).
Inisiatif itu mengetengahkan Emas Pusa Gula Apong Premium dan Apong Bar sebagai usaha menambah nilai sumber tradisional melalui penjenamaan, inovasi dan pendekatan perniagaan moden.

Mentor projek, Emilyn Nojen berkata, kedua-dua produk itu bukan sahaja berpotensi memperluas pasaran gula apong, malah mengetengahkan inovasi berasaskan sumber tempatan yang memenuhi keperluan pengguna masa kini.
“Emas Pusa Gula Apong Premium mengetengahkan produk warisan melalui penjenamaan, pembungkusan dan strategi pemasaran yang lebih tersusun, manakala Apong Bar ialah snek inovatif berasaskan gula apong yang lebih praktikal untuk pengguna,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Projek itu bukan sahaja memelihara warisan tempatan, malah membuka peluang pasaran baharu serta kerjasama dengan pengusaha dan pembekal setempat, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti.
Beliau berkata, penglibatan pelajar PMBS turut menyediakan ruang pembelajaran praktikal dalam bidang keusahawanan, merangkumi pembangunan model perniagaan, pengurusan operasi, pemasaran, kewangan dan penambahbaikan produk.

Pengalaman itu membolehkan pelajar memahami proses membangunkan perniagaan, daripada penghasilan produk hingga pemasaran kepada pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, Apong Bar telah menjalani pengujian nutrisi di makmal, manakala pendaftaran harta intelek menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah disahkan melalui pengeluaran sijil.
Emilyn berkata, kejayaan projek keusahawanan sosial bukan hanya diukur berdasarkan jualan dan keuntungan, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat, pemeliharaan warisan serta peluang ekonomi yang dapat diwujudkan secara berterusan.
Beliau berharap inisiatif itu dapat mengembangkan potensi gula apong sebagai produk komersial bernilai tambah, selain melahirkan usahawan muda yang kreatif, berdaya saing dan peka terhadap tanggungjawab sosial.




