KUCHING: Borneoland Countdown Festival 2025 dijangka mencatat sejarah sebagai festival sambutan Tahun Baru terbesar di Sarawak apabila ia berlangsung pada 31 Disember ini, di Kampung Budaya Sarawak.
Festival ini menyatukan ribuan pengunjung dalam satu malam penuh hiburan bertaraf dunia bagi meraikan kedatangan tahun 2026.
Menurut Pengarah Acara, Nurhisham Asaludin, acara ini lebih daripada sekadar pesta yang menawarkan pengalaman hiburan skala mega dengan gabungan artis antarabangsa, bakat tempatan, serta produksi pentas berteknologi tinggi.

“Kami ingin festival ini memberi impak besar kepada Kuching, terutamanya dari segi ekonomi dan sektor kreatif.
“Selain itu, festival ini akan memperkenalkan bakat tempatan di pentas antarabangsa,” katanya pada sidang media di Stat On Stage, di sini hari ini.
Festival ini menampilkan lima artis antarabangsa termasuk Blasterjaxx (Belanda), Avao (Belanda), Acina (Jerman), Dimatik (Australia) dan DJ DNA (Sydney), serta 14 artis tempatan dari Sarawak.

Nurhisham berkata, keunikan festival ini terletak pada pengalaman persekitaran dan alam sekitar Kampung Budaya Sarawak, suatu kelainan berbanding acara yang diadakan di kawasan bandar.
“Dengan rekaan pentas kelas dunia, sistem bunyi dan pencahayaan imersif serta efek visual mengagumkan, kami berharap festival ini menandingi tahap penganjuran festival antarabangsa.
“Kemuncaknya adalah kiraan detik jam 12 tengah malam—apabila muzik, cahaya dan bunga api menyatu dalam satu momen magis,” tambah beliau.
Borneoland Countdown Festival turut menyediakan zon VIP & Hospitality, Lifestyle & F&B Village serta pelbagai aktiviti hiburan. Festival ini disasarkan kepada pengunjung dari seluruh Malaysia serta pelancong antarabangsa termasuk dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Australia.
Nurhisham menekankan bahawa festival ini adalah platform untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi hiburan dan festival bertaraf dunia.
Untuk kemudahan pengunjung, penganjur menyediakan perkhidmatan shuttle dari hotel rakan kongsi seperti Theatre Hotel, Riverside Majestic Hotel, Tamaril, Cocoon Resort Kuching dan The Culvert Hotel Resort Kuching, yang membolehkan pengunjung mengakses lokasi festival dengan mudah.
Tiket festival dijual dari RM128 (Early Access) hingga RM268 (Walk-In) melalui platform Ticketmelon.
Festival ini dianjurkan oleh Solaris Sky Company, yang mempunyai pengalaman penganjuran acara berskala besar seperti siri KLWP dan UNSTOP Music Festival.
Nurhisham berkata, kejayaan festival terdahulu menjadi asas bagi penganjuran Borneoland Countdown Festival, dan beliau yakin acara ini akan menjadi tradisi tahunan yang ikonik di Sarawak.
“Tujuan utama kami adalah membangunkan festival ini sebagai acara tahunan terbesar di Borneo, menyatukan masyarakat melalui muzik, budaya dan pengalaman bersama, serta memperkenalkan Sarawak ke peta festival antarabangsa,” katanya.
Borneoland Countdown Festival 2025 diharapkan bukan sahaja menjadi pesta sambutan Tahun Baru, tetapi juga simbol budaya dan hiburan, membuka lembaran baharu bagi industri hiburan dan pelancongan negeri.



