Bot ekspres tetap jadi pilihan

KUCHING: Pengangkutan bot ekpress masih mendapat tempat dalam kalangan orang Sarawak terutama apabila tibanya musim perayaan walaupun prasarana darat atau kapal terbang menjadi pilihan alternatif.

Penumpang Salmiah Suhaili 65 memberitahu Suara Sarawak, dia merupakan pengguna setia sejak 1980-an tetap memilih bot ekspress untuk pulang ke kampung.

“Sehingga kini saya menggunakan bot ekpres kerana ia hanya mengambil masa dua jam ke Tanjung Manis.

“Saya menggunakan perkhidmatan ini sejak ia beroperasi di Tebingan Sungai Sarawak. Pada ketika itu, ia menjadi terminal awal bot ekpres ini,” katanya.

Katanya, dahulu sekitar 1980-an sehingga 1990-an boleh dikatakan penumpang boleh duduk di bahagian atas terutamanya apabila Gawai Dayak dan Hari Raya.

“Sekarang tidak boleh kerana adanya penguatkuasaan berhubung lebihan muatan selain faktor keselamatan,” katanya.

Bagi Asmawati Razak 38, penduduk asal Matu Daro menjelaskan bot ekpres tersebut antara pengangkutan utama dia dan keluarga untuk pulang ke kampung halaman.

“Musim cuti sekolah dan Hari Raya, kami sekeluarga pulang menggunakan bot ekpres ini. Anak saya memang suka, kata mereka suka melihat air dan pemandangan laut.

“Selain, boleh dikatakan dianggap ‘legend’, sebab banyak kenangan saya menggunakan pengangkutan ini,” katanya.

Bagi Abdul Hamid 53 berkata, perbezaan ketara melibatkan jumlah penumpang pada hari biasa dan hari perayaan.

“Pada hari biasa jumlah penumpang boleh dikatakan sangat sedikit lebih kurang 20 orang.“Tibanya musim perayaan, penumpang akan lebih ramai dan mereka akan tiba di sini seawal jam 5 pagi,” katanya.

Tambah beliau, boleh dikatakan pelbagai latar belakang menggunakan bot ekpres tersebut antaranya pelancong Brunei dan Semenanjung Malaysia.

Juragan Hah Tung Thu 60 berkongsi cerita bahawa sejak dari dulu setiap kali musim perayaan terminal itu menjadi tumpuan.

“Terutama musim Gawai Dayak dan Hari Raya selain hujung minggu tetapi hari biasa, sedikit sahaja menggunakan bot ini.

“Saya telah bekerja selama 30 tahun di sini, menjadi kebiasaan saya pada keesokan harinya berada di Sibu seterusnya berada di Kuching,” katanya.

Suara Sarawak