KUCHING: Tujuh pemancing berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Po petang tadi, menyebabkan mereka terdampar di laut selama lebih empat jam sebelum diselamatkan.
Kesemua mangsa yang berusia antara 26 hingga 39 tahun dilaporkan berada kira-kira 10 batu nautika di utara Tanjung Po ketika kejadian berlaku.
Menurut Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut dan segera menggerakkan pasukan penyelamat ke lokasi.
“Namun sebelum APMM tiba, kesemua mangsa sempat diselamatkan oleh krew kapal dagang MTT Rajang yang kebetulan sedang dalam pelayaran dari Pelabuhan Klang menuju ke Pelabuhan Kuching sekitar jam 3.30 petang,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambah Mohd Khairi, pasukan APMM kemudiannya mengambil alih mangsa dari kapal berkenaan dan membawa mereka ke jeti APMM Muara Tebas.
Kesemua mangsa tiba dengan selamat sekitar jam 7.08 malam, ujarnya.

“Kesemua pemancing berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan selamat serta lengkap memakai jaket keselamatan sewaktu ditemui.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” tambahnya.
Beliau memaklumkan, kapal tersebut dilaporkan karam disebabkan kebocoran pada bahagian bilges (ruang takungan bawah bot).
Sehubungan itu, orang ramai diminta agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan memeriksa keadaan cuaca serta bot sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, katanya.



