KUCHING: Bot OKINAWA yang karam pada jarak 2.8 batu nautika barat laut Pulau Satang telah ditimbulkan semula oleh pemiliknya, hari ini.
Pengarah Maritim Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata bot itu telah dibawa ke jeti kira-kira jam 2 petang.
Bagaimanapun, katanya setakat jam 4 petang, hari kelima Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) belum menemui sebarang petunjuk baharu mengenai pembantu tekong bot berkenaan yang masih hilang iaitu Awang Omar Awang Hamsawi, 59.
“Keluasan pencarian pada hari ini seluas 312.71 batu nautika persegi, dengan fokus pencarian merangkumi di laut serta pesisir pantai Tanjung Po, Pulau Lakei, Santubong, Tanjung Sipang, Pulau Satang, Pantai Trombol, Telaga Air sehingga ke Tanjung Datu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 14 aset pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian di laut serta pesisir pantai iaitu dua aset Maritim Malaysia KM Sri Aman dan Pengawal 6, tiga aset Pasukan Polis Marin PA1, RH 23 dan PSC 34 serta tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Selain itu satu aset Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) JPLS20, satu aset Angkatan Pertahanan Awam Malayisa (APM) serta dua aset Sarawak Coast Guard SC Barracuda dan SC Tenggiri.
Zin Azman menambah misi pencarian turut disertai dan dibantu beberapa bot pancing komuniti maritim tempatan,” katanya.
Manakala, beliau berkata pencarian udara melibatkan aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Helikopter Ecureuil AS355N dan Unit Udara Bomba Sarawak, Helikopter MI 171 yang melakukan pencarian dari Santubong ke Tanjung Datu.
“Jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 150 orang,” katanya.
Sementara bagi operasi CARILAMAT lima pemancing yang dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu, Zin Azman berkata tiada petunjuk baharu ditemui pasukan penyelamat setakat jam 4 petang.
Katanya keluasan pencarian merangkumi seluas 439.5 batu nautika persegi, dengan fokus kawasan pencarian laut oleh aset Maritim Malaysia, KM Sri Aman adalah tertumpu di sekitar perairan Tanjung Datu, 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas.
Manakala, beliau berkata pencarian melalui udara pula dilakukan menggunakan sebuah helikopter Unit Udara Bomba Sarawak, Helikopter MI 171 di perairan Santubong sehingga ke Tanjung Datu, 15 batu dari pesisir pantai ke bawah.
“Sepuluh buah bot pancing dari komuniti maritim tempatan turut melakukan pencarian di pesisir pantai dari Tanjung Po sehingga ke Tanjung Datu serta di
sungai-sungai berdekatan di sekitar perairan Santubong sehingga Sebuyau.
“Selain itu pencarian turut diperluaskan ke persisir pantai, Teluk Asam dan Teluk Belian,” katanya sambil menambah jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat adalah seramai 65 orang.
Justeru, Zin Azman menasihatkan komuniti maritim agar tidak turun ke laut buat masa sekarang memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik terutamanya dalam tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang bermula dari Oktober tahun ini hingga Mac 2022.