BINTULU: Sebuah bot penumpang yang didapati beroperasi tanpa nakhoda sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu ketika rondaan rutin di perairan daerah ini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot terbabit ditahan pada jam 1.30 petang di kedudukan 2.30 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena semasa pelaksanaan Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan seorang kru warga tempatan berusia 37 tahun yang membawa seorang penumpang lelaki berumur 43 tahun, juga rakyat tempatan.
“Hasil siasatan mendapati bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477(2) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal mengenai pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda atau kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bot bersama kru dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur keselamatan di laut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254, Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.




