Bot tiba-tiba karam, seorang dikhuatiri hilang

KUCHING: Genggaman terlepas daripada jeket keselamatan menyebabkan seorang lelaki daripada tiga mangsa bot karam di perairan Pulau Lakei dikhuatiri hilang, semalam.

Kejadian berlaku ketika bot yang dinaiki mereka tiba-tiba karam selepas melalui perairan tersebut sekitar jam 9 pagi.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan berkata, pihaknya menerima laporan pada 6.45 petang sebelum mengerahkan anggotanya melakukan operasi segera mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di lokasi.

Menurutnya, mangsa pertama yang kini masih didapati hilang dikenali sebagai Jamlee Masli, 41, manakala dua lagi mangsa berusia 64 dan 34 tahun ditemui selamat di Pulau Lakei.

“Menurut laporan awal mendapati ketiga-tiga mangsa masih bersama dan selamat ketika bot mereka karam di perairan Pulau Lakei.

“Namun sebelum tiba kira-kira 20 meter dari pulau tersebut salah seorang daripadanya hilang akibat terlepas daripada jeket keselamatan itu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, dua orang mangsa yang terdampar di Pulau Lakei berjaya ditemui dan seterusnya di bawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abg Salehuddin (KOMTAS) dengan selamat.

Dedahnya, kedua-dua mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat dan salah seorang daripadanya hanya mengalami kecederaan kecil di bahagian kaki.

Tambahnya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah pun ditubuhkan di jeti Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia KOMTAS Muara Tebas.

Dalam pada itu, katanya, operasi mencari mangsa diteruskan hari ini di sekitar perairan Pulau Lakei sehingga 15 Batu Nautika daripada Tanjung Po.

Dalam pada itu, ujarnya, pasukan Bot Kilat 35 yang sedang operasi di laut turut dikerahkan untuk mengesan bot mangsa di lokasi.