BINTULU: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu kerana disyaki beroperasi tanpa dilengkapi sauh dalam operasi penguatkuasaan di perairan Bintulu, Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan kira-kira 4.25 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena.
Beliau berkata penahanan dilakukan ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 4.0 di perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 300, Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance – MSO) 1952 kerana tidak dilengkapi sauh yang merupakan antara kelengkapan keselamatan wajib bagi sebuah vesel.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda itu dikendalikan lapan kru terdiri daripada empat warga tempatan dan empat warga Indonesia termasuk seorang nakhoda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suffian berkata bot tunda bersama-sama kesemua kru kemudian ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pematuhan ke atas keperluan keselamatan pelayaran adalah tanggungjawab setiap pemilik, pengusaha dan pengendali vesel bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan nyawa di laut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana vesel yang gagal mematuhi peraturan keselamatan dan undang-undang maritim negara.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan mematuhi piawaian pelayaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan pelayaran serta menyalurkan maklumat, aduan atau kecemasan di laut melalui talian 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544.


