KUCHING: Kempen tahunan anjuran Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), GoBald 2025, kembali dengan misi mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran mengenai kanser kanak-kanak, selain menyokong pesakit dan keluarga mereka.
Tahun ini, SCCS menyasarkan kutipan RM1 juta serta penyertaan 400 individu yang bersedia mencukur rambut sebagai tanda solidariti.
Presiden SCCS, Mary Kiu Ai Ling berkata, GoBald 2025 yang bertemakan “Leave Your Mark” adalah seruan kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu kanak-kanak yang berdepan dengan kanser.
“Apabila seseorang memilih untuk membotakkan kepala, mereka menunjukkan solidariti dengan kanak-kanak pesakit kanser yang kehilangan rambut akibat rawatan.
“Ini memberi semangat kepada mereka bahawa mereka tetap cantik dan berharga walaupun botak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Majlis pelancaran menyaksikan Awang Naim Awang Bahrin, seorang bapa kepada pesakit kanser kanak-kanak, serta Nur Haiqal, seorang bekas pesakit, menjadi individu pertama mencukur rambut dalam kempen ini.
Mereka diikuti oleh Wilfred Jameson, seorang bapa yang kehilangan anak akibat kanser, serta Kelvin Wan Kwong Wei, seorang penyokong setia SCCS.
Bagi Awang dan Kelvin, ini merupakan penyertaan pertama mereka dalam kempen tersebut, menjadikan usaha mereka lebih bermakna.
Mary turut memaklumkan bahawa kos operasi tahunan SCCS dianggarkan sekitar RM2 juta, dengan lebih 70 peratus dana disalurkan terus untuk membantu kanak-kanak yang menghidap kanser melalui tajaan perubatan, bantuan kewangan, dan rawatan khusus.
“Pada tahun 2024, SCCS membelanjakan keseluruhan RM2.9 juta, mencerminkan peningkatan sebanyak 43 peratus dalam jumlah perbelanjaan berikutan tajaan bantuan perubatan kritikal yang melebihi RM500,000.”
“Sejak penubuhan pada tahun 2001, kami telah menyokong lebih 1,700 keluarga – satu pencapaian yang dapat direalisasikan melalui inisiatif pengumpulan dana utama seperti GoBald serta kemurahan hati orang ramai.”
Beliau menegaskan, peningkatan perbelanjaan SCCS menekankan kepentingan pengumpulan dana yang berterusan.
“Apabila seorang kanak-kanak memerlukan bantuan segera, kami tidak boleh berlengah,” ujarnya.
Untuk rekod, SCCS merekodkan sekitar 50 hingga 70 kes baharu kanser kanak-kanak di Sarawak setiap tahun.
*”Pada tahun 2024 sahaja, SCCS telah menyediakan RM762,786 bagi tajaan perubatan merangkumi prosedur, ubat-ubatan, alat bantuan perubatan dan prostetik untuk 48 pesakit.
“Selain itu, sebanyak RM109,450 diperuntukkan untuk bantuan kewangan bulanan kepada keluarga yang memerlukan, serta RM53,318 bagi menaik taraf Wad Pediatrik 2A di Hospital Umum Sarawak.
“Kami juga menyediakan 3,061 malam penginapan untuk 40 keluarga luar bandar di rumah persinggahan SCCS di Kuching dengan perbelanjaan RM147,562, selain 500 perjalanan hospital bagi membantu 51 keluarga dengan subsidi pengangkutan berjumlah RM65,193,”* tambahnya.
Acara pencukuran rambut secara terbuka akan diadakan pada bulan Jun di Kuching dan Miri.
*”Peserta GoBald boleh memilih untuk mengumpul dana sahaja, mencukur kepala mereka, atau kedua-duanya sekali.
“Jumlah minimum kutipan dana sebanyak RM50 diperlukan bagi penyertaan pencukuran kepala yang ditaja oleh SCCS,”* katanya.
Pendaftaran untuk GoBald 2025 kini dibuka di www.gobald.my.
Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan kempen ini melalui @sccsmy di Facebook, Instagram, dan TikTok.
Sementara itu, perniagaan atau organisasi yang berminat untuk menyertai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) atau menganjurkan acara pencukuran satelit boleh menghubungi SCCS di 082-686276 atau menghantar e-mel ke em1@sccs.org.my.


