ARTIKEL

(Enam dari kanan) Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki diikuti Ruslan merakamkan gambar kenangan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-30 syarikat BPHB, di sini, hari ini.

BPHB catat keuntungan selepas cukai RM121.89 juta pada 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) mencatat hasil operasi sebanyak RM822.15 juta bagi tahun kewangan 2025, dengan gas asli cecair (LNG) kekal sebagai penyumbang utama, disokong operasi Samalaju, pengendalian kontena dan kargo pukal.

Kumpulan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, BPHB turut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM121.89 juta, dengan pendapatan sesaham 26.50 sen, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) mencecah RM419.66 juta.

Manakala dari segi operasi, pengendalian kargo kekal stabil pada kira-kira 52 juta tan, sejajar dengan tahun sebelumnya, sekali gus menegaskan kekuatan operasi pelabuhan dalam menyokong aktiviti perdagangan dan perindustrian negeri.

Perkara itu dimaklumkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-30 syarikat BPHB hari ini, yang turut meluluskan semua resolusi termasuk pengisytiharan dividen 15 sen sesaham berjumlah RM69 juta, bersamaan 56.61 peratus daripada keuntungan selepas cukai tahun semasa.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata prestasi tersebut mencerminkan kekuatan pelaksanaan berdisiplin, daya tahan operasi serta perancangan jangka panjang.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata proses peralihan rangka kerja tadbir urus pelabuhan Sarawak dijangka dimuktamadkan sebelum akhir suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata pelanjutan Perjanjian Interim Keempat sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga proses peralihan selesai akan memastikan kesinambungan operasi serta memberi kepastian kepada pelanggan, rakan perniagaan, pekerja dan pelabur.

Dalam pada itu, BPHB berkata syarikat itu terus mempergiat usaha pendigitalan termasuk pelaksanaan Sistem Operasi Pelabuhan (POS), penggunaan CCTV pintar berasaskan kecerdasan buatan serta pemantauan dron bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan.

“Sistem Palang Pintu Pintar di Pelabuhan Perindustrian Samalaju yang mengintegrasikan teknologi pengecaman aksara optik (OCR), pengecaman nombor pendaftaran (LPR) dan RFID diperkenalkan bagi melancarkan aliran trafik serta memperkukuh kawalan keselamatan.

“Dari segi pembangunan, syarikat turut memajukan inisiatif zon bebas di Pelabuhan Bintulu dan Samalaju, termasuk cadangan Zon Komersial Bebas seluas 343 hektar di Samalaju yang dijangka meningkatkan daya saing pelabuhan sebagai hab perdagangan dan industri strategik,” kata kenyataan itu.

Bintulu Port Holdings memaklumkan akan terus memberi tumpuan kepada penciptaan nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham, di samping menyokong pembangunan ekonomi Sarawak serta aspirasi sektor logistik dan tenaga negara.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU