KUCHING: Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) mencatat pendapatan operasi sebanyak RM791.26 juta pada tahun lalu. Pengerusinya, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, hasil peningkatan itu meningkat sebanyak 8.6 peratus berbanding tahun sebelumnya (2021).
Menurutnya, pendapatan daripada gas asli cecair (LNG) menyumbang sebanyak 49 peratus daripada jumlah pendapatan operasi, sekali gus kekal menjadi penyumbang pendapatan utama.
“Peningkatan dalam jumlah kargo yang dikendalikan oleh ketiga-tiga anak syarikat operasi turut menyumbang kepada pendapatan operasi yang cemerlang ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 BPHB, dekat sini, semalam.
Bagaimanapun jelasnya, keuntungan selepas cukai menurun kepada RM127.72 juta daripada RM363.19 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Jelasnya, hal tersebut berlaku ekoran terdapat transaksi sekali sahaja dalam pengiktirafan aset cukai tangguh daripada elaun cukai pelaburan yang tidak digunakan pada 2021.
“Namun begitu, asas kewangan yang kukuh dan ketahanan operasi Kumpulan BPHB sebagai pembekal perkhidmatan pelabuhan dan marin membolehkannya mencapai beberapa tonggak korporat pada 2022.
“Antaranya tambahan empat talian eksport baharu di Biport Bulkers Sdn Bhd (BBSB) yang meningkatkan kapasiti pengendalian BBSB daripada 13 kepada 17 talian pada satu-satu masa.
“Tahun 2022 menyaksikan pelayaran sulung kapal Tiger Bintulu di Bintulu International Container Terminal (BICT) yang membawa 400 unit tangki ISO LNG.
“Samalaju Industrial Port Sdn Bhd (SIPSB) yang memulakan operasinya pada 2012 telah menyambut ulang tahun ke-10 dan mengalami peningkatan yang ketara dalam kendalian kontena pada tahun lalu,” ujarnya.
Tegasnya, secara keseluruhan pada tahun lalu menyaksikan Kumpulan BPHB mencapai kemajuan yang memberansangkan dalam semua aspek dengan peningkatan prestasi kewangan dan keunggulan dalam penyampaian perkhidmatan.
Terdahulu pada mesyuarat, tujuh resolusi yang dikemukakan turut diluluskan.
Ahli Lembaga Pengarah BPHB, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Datuk Seri Fong Joo Chung dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani turut hadir.



