ARTIKEL

Ruslan semasa berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Teknologi Hijau BPHB di Wisma Kontena, Bintulu pada Jumaat.

BPHB lancar lima inisiatif teknologi hijau, perkukuh agenda sifar bersih 2050

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melancarkan lima inisiatif teknologi hijau sebagai langkah memperkukuh agenda kelestarian syarikat serta mempercepatkan transformasi pelabuhan itu ke arah operasi rendah karbon dan mampan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata bahawa inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Ruslan menyampaikan cenderahati kepada Dr Hazland selepas majlis pelancaran berkenaan.

Menurut beliau, kelestarian kini menjadi teras kepada strategi pembangunan syarikat dan bukan lagi sekadar memenuhi keperluan pematuhan peraturan.

“Di Bintulu Port, kelestarian adalah sebahagian daripada transformasi perniagaan kami. Kami komited untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050 selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Teknologi Hijau BPHB yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni di Wisma Kontena di sini, pada Jumaat.

Ruslan berkata, antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah penggunaan dua unit Electric Reach Stacker (RSE) yang menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya bagi operasi pengendalian kargo berkontena.

Menurut beliau, penggunaan jentera berkenaan dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon, selain meningkatkan kecekapan tenaga, kebolehpercayaan operasi dan keberkesanan kos bagi jangka panjang.

Selain itu, BPHB turut memperkenalkan sebuah Gantry Penebat Getah (RTG) hibrid yang menggabungkan penggunaan bateri dan set janakuasa diesel berkapasiti lebih kecil bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil.

“Sebanyak enam unit Hybrid RTG turut ditambah ke dalam armada operasi pelabuhan sebagai sebahagian daripada usaha mempercepatkan penggunaan teknologi rendah karbon dalam operasi harian.

“Bagi memperluaskan penggunaan tenaga bersih, syarikat turut membangunkan sebuah Traktor Terminal Kuasa Elektrik (EPTT) yang mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, pencemaran bunyi serta kos operasi,” tambahnya.

Dalam usaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, BPHB melaksanakan sistem solar fotovolta (PV) secara berfasa bermula dengan kapasiti 150 kilowatt puncak (kWp) sebelum diperluaskan kepada 400 kWp pada peringkat seterusnya.

Menurut Ruslan, sistem tersebut dijangka membantu mengurangkan penggunaan tenaga konvensional secara signifikan sekali gus menurunkan jejak karbon keseluruhan operasi pelabuhan.

Pada masa sama, BPHB turut memperkenalkan 15 motosikal elektrik terdiri daripada 10 unit Ebixon KRUZ dan lima unit VMoto TC Max bagi menyokong operasi harian, rondaan keselamatan serta pergerakan kakitangan di kawasan pelabuhan.

Beliau berkata, walaupun berskala lebih kecil, penggunaan motosikal elektrik itu tetap memberi sumbangan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong matlamat kelestarian syarikat.

Ruslan turut memaklumkan bahawa BPHB sedang meneruskan beberapa inisiatif lain termasuk penggunaan bekalan elektrik hijau berasaskan tenaga solar, penambahan 12 unit EPTT baharu, penerokaan penggunaan kapal tunda dan vesel pandu arah elektrik atau hibrid, serta penaiktarafan Sistem Operasi Pelabuhan (POS) bagi meningkatkan kecekapan dan pendigitalan operasi.

Dalam konteks tersebut, beliau berkata Bintulu Port bukan sahaja berperanan sebagai pintu masuk utama perdagangan serta industri minyak dan gas luar pesisir negara, malah turut muncul sebagai peneraju perubahan dalam industri maritim menerusi penerapan inovasi serta amalan operasi yang lebih mampan.

“Pelancaran hari ini bukan sekadar simbol kemajuan teknologi dan infrastruktur, tetapi manifestasi tanggungjawab berterusan kami terhadap alam sekitar dan generasi akan datang.

“Melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, elektrifikasi operasi dan pemodenan sistem, kami sedang meletakkan asas kukuh bagi sebuah pelabuhan yang lebih cekap, mampan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU