ARTIKEL

Gambar hiasan

BPIT 2026 Himpun 576 Pemain, Tawar Hadiah Lebih RM80,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 576 pemain dijangka menghangatkan persaingan Kejohanan Pickleball Antarabangsa Borneo (BPIT) 2026 di PIKABOL MALAYSIA, Kuching, dari 7 hingga 12 Oktober ini.

Memasuki edisi kedua, kejohanan anjuran Persatuan Pickleball Kuching (KPA) itu menyasarkan penyertaan 24 pasukan bagi acara berpasukan serta 144 pasangan dalam enam kategori beregu.

Lebih menarik, penyertaan kali ini bukan sahaja membabitkan pemain dari Sarawak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, malah turut menarik peserta dari Australia, Brunei dan Indonesia.

Setakat 26 September lalu, pendaftaran mencapai 70 peratus daripada sasaran keseluruhan, manakala jumlah kehadiran peserta dan penonton disasarkan mencecah 2,500 orang.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata perkembangan ini mencerminkan pertumbuhan sukan bola pikel serta kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkasa pembangunan sukan di Sarawak.

“Sukan menyatukan masyarakat, membangunkan bakat dan memperkukuh komuniti. BPIT menunjukkan apa-apa yang mampu dicapai apabila kerajaan, sektor swasta, persatuan sukan dan komuniti bekerjasama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada KPA serta semua penaja dan rakan kongsi yang menjayakan penganjuran kejohanan antarabangsa itu.

Presiden KPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola BPIT 2026, Ruslan Bujang berkata penganjuran kejohanan itu dapat direalisasikan hasil keyakinan dan komitmen penaja serta rakan strategik.

Menurutnya, sokongan berkenaan turut membuka lebih banyak peluang kepada pemain selain membantu memperluas kehadiran Sarawak dalam arena bola pikel.

“Dengan nilai hadiah keseluruhan lebih RM80,000, kejohanan ini turut menawarkan RM20,000 kepada juara acara berpasukan,” katanya.

Dalam pada itu, penganjur melanjutkan tempoh pendaftaran sehingga Sabtu, 3 Oktober, jam 6 petang waktu Malaysia bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain menyertai kejohanan berkenaan.

BPIT 2026 mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).

Kejohanan itu turut disokong rakan strategik daripada sektor pelancongan, penerbangan, hospitaliti, agensi pelancongan, media dan sukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU