LONDON: Syarikat British Petroleum (BP) menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam pembangunan potensi industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negeri ini.
Menurut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, struktur geologi Sarawak yang stabil dan sesuai untuk inisiatif tersebut telah menarik minat pihak BP mewujudkan jaringan kolaborasi bersama PETROS.
“Sarawak berharap dapat menjalin kerjasama kelak supaya pihak BP dan PETROS dapat bersama menjalankan kajian serta penerokaan industri CCUS, khususnya mengenai lokasi berpotensi sebagai tempat penyimpanan karbon.
“Usaha ke arah kerjasama ini merupakan langkah tepat untuk membangunkan masa depan industri tenaga bersih yang mampan bagi manfaat generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan pihak BP di Hotel The Park Tower Knightbridge, London pada pada petang semalam.
British Petroleum ialah sebuah syarikat bersepadu yang beroperasi dalam semua bidang industri minyak dan gas termasuk penerokaan dan pengeluaran, penapisan, pengedaran dan pemasaran, petrokimia, penjanaan kuasa dan perdagangan.
Syarikat yang beribu pejabat di London itu juga mempunyai kepentingan dalam industri tenaga boleh diperbaharui khususnya bahan bakar bio dan kuasa angin.
Selepas pertemuan tersebut, Abang Johari dan delegasi kerajaan Sarawak melakukan perbicangan bersama Hambro Perks, syarikat yang memberi tumpuan kepada perniagaan didayakan teknologi dengan operasi perniagaan utama terletak di United Kingdom.
Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Zakri Jaafar; Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh serta tetamu jemputan lain.

Abang Johari mempengerusikan mesyuarat bersama British Petroleum. Turut kelihatan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Zakri Jaafar dan Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.




