ARTIKEL

Bua Taba’eng lambang identiti Kayan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Susunan ratusan manik halus yang kelihatan sederhana sebenarnya menyerlahkan keunikan seni, ketelitian dan identiti budaya masyarakat Kayan Belaga yang diwarisi secara turun-temurun.

Keunikan itu terserlah menerusi Bua Taba’eng, sejenis kraf manik tradisional yang bukan sahaja berfungsi sebagai perhiasan, malah mempunyai nilai sejarah dan identiti tersendiri dalam kehidupan masyarakat Kayan.

Di sebalik setiap jalinan manik yang membentuk corak unik, terserlah kemahiran tangan, kesabaran dan pengetahuan tradisional yang menjadikan Bua Taba’eng antara warisan kraf yang wajar dipelihara.

Namun, seiring dengan perubahan zaman, kemahiran menghasilkan kraf tradisional berkenaan memerlukan usaha berterusan supaya tidak terus dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menyedari kepentingan itu, Pertubuhan Warisan Kebudayaan Orang Ulu Sarawak (PEWAKOUS) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Bengkel Bua Taba’eng Kayan Belaga di Hotel Telang Usan, Kuching, pada 7 November lalu.

Bengkel selama sehari yang disertai 30 peserta itu memberikan peluang kepada komuniti untuk mengenali, mempelajari dan menguasai teknik asas menghasilkan kraf manik berkenaan menerusi demonstrasi serta latihan praktikal.

Pengerusi PEWAKOUS yang juga tenaga pengajar, Cikgu Julia Livan Talek berkata, keistimewaan Bua Taba’eng terletak pada reka bentuknya yang diilhamkan daripada buah kabo, sejenis buah tempatan yang dikenali dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, penghasilan kraf tersebut menggunakan ratusan biji manik halus (seed beads) yang perlu disusun dan dijalin dengan teliti sehingga membentuk corak menyerupai buah berkenaan.

“Bua Taba’eng bukan sekadar perhiasan, sebaliknya mempunyai nilai identiti dan warisan budaya yang menggambarkan keunikan masyarakat Kayan, khususnya komuniti Kayan Belaga.

“Proses pembuatannya memerlukan kesabaran, ketelitian dan kemahiran kerana setiap manik perlu disusun dengan cermat bagi menghasilkan corak yang kemas dan menarik,” katanya.

Secara tradisinya, Bua Taba’eng digunakan sebagai perhiasan leher dan aksesori pakaian masyarakat Kayan, khususnya semasa sambutan perayaan, majlis kebudayaan serta upacara tertentu.

Menariknya, kraf berkenaan boleh dipakai oleh lelaki mahupun wanita, sekali gus memperlihatkan peranannya sebagai sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Kayan yang merentas generasi.

Bagi Julia, usaha memperkenalkan seni pembuatan Bua Taba’eng kepada lebih ramai individu merupakan langkah penting bagi memastikan kemahiran tersebut terus dipelajari dan tidak hanya bergantung pada generasi terdahulu.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang seni kraf manik berkata, bengkel seumpama itu bukan sahaja memperkenalkan teknik pembuatan, malah memberikan peluang kepada peserta untuk memahami nilai budaya yang terkandung dalam setiap hasil tangan.

Sepanjang bengkel, peserta diperkenalkan kepada bahan dan peralatan, pemilihan warna, teknik memasukkan dan menyusun manik, pembentukan corak serta proses kemasan produk.

Mereka turut diberikan bimbingan secara langsung untuk menghasilkan Bua Taba’eng, selain didedahkan kepada aspek pengiraan kos dan potensi pemasaran bagi membuka peluang menjadikan kemahiran kraf sebagai sumber pendapatan tambahan.

“Harapan saya, peserta bukan sahaja tahu menghasilkan Bua Taba’eng, tetapi turut memahami nilai budaya di sebalik setiap hasil tangan.

“Apabila mereka menguasai kemahiran ini, mereka boleh meneruskan amalan tersebut, berkongsi ilmu dengan orang lain dan seterusnya memperkenalkan warisan Kayan kepada masyarakat yang lebih luas,” katanya.

Pengalaman Julia dalam bidang kraf turut membuktikan bahawa seni warisan tempatan mempunyai potensi untuk berkembang hingga ke pasaran antarabangsa.

Hasil kraf tangan beliau pernah dipasarkan di Singapura menerusi platform Statos, selain mendapat perhatian pelanggan luar negara, khususnya dari United Kingdom dan Jerman.

Pencapaian itu memperlihatkan produk berasaskan warisan budaya Sarawak mempunyai nilai komersial tersendiri sekiranya dihasilkan dengan mengutamakan kualiti, keunikan reka bentuk dan identiti asal.

Bagi memperluas jangkauan pasaran, Julia turut aktif mempromosikan hasil kraf tangannya menerusi media sosial, khususnya Facebook dan Instagram dengan menggunakan nama Julia Livan Talek.

Beliau juga menyertai pelbagai pameran, ekspo, festival, pertunjukan fesyen dan gerai promosi bagi memperkenalkan produk kraf kepada orang ramai serta meneroka peluang pasaran baharu.

Pelibatan beliau sebagai tenaga pengajar turut merangkumi pelbagai program latihan, antaranya bengkel asas seni manik anjuran Persatuan Wanita Kayan Sarawak (PKWS), bengkel Manik Kabo Belaga anjuran PEWAKOUS serta bengkel pembuatan beg rotan bersama komuniti wanita anjuran Orang Ulu Chamber of Commerce (OUCCI).

Pengalaman tersebut membolehkan beliau berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan wanita, pelajar, usahawan serta individu yang berminat untuk menceburi bidang kraf tangan.

Menurutnya, pemeliharaan warisan tidak seharusnya terhenti pada usaha menghasilkan produk semata-mata, sebaliknya perlu disertai usaha memperluas pengetahuan, mendokumentasikan teknik pembuatan dan membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk mempelajarinya.

Pada masa sama, usaha mengkomersialkan produk perlu dilaksanakan secara seimbang tanpa mengabaikan keaslian motif dan nilai budaya yang menjadi identiti Bua Taba’eng.

Inisiatif PEWAKOUS menerusi bengkel berkenaan diharapkan dapat melahirkan lebih ramai penggiat kraf berkemahiran, sekali gus memastikan seni manik tradisional Kayan Belaga terus diamalkan, diperkenalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Sementara itu, peserta termuda dalam bengkel berkenaan, Cheryllin Muring, 20, berkata, penyertaannya didorong oleh minat untuk mengenali seni manik masyarakat Kayan dengan lebih mendalam, di samping mempelajari warisan etnik lain.

Menurut anak jati Kuching itu, meskipun membesar dalam keluarga yang mengamalkan pemakaian rantai manik tradisional, beliau tidak pernah mendalami seni penghasilan Bua Taba’eng sebelum menyertai bengkel berkenaan.

“Perkara baharu yang saya pelajari ialah teknik menghasilkan Bua Taba’eng. Saya juga bersyukur kerana berpeluang mempelajari sendiri cara pembuatannya.

“Proses menghasilkan kraf ini memerlukan kesabaran kerana melibatkan penggunaan manik yang sangat halus serta gabungan pelbagai warna seperti kuning, hijau, putih dan merah,” katanya.

Justeru, anak muda ini berpendapat generasi muda perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam mengenali, mempelajari dan mempertahankan warisan budaya masyarakat Kayan yang semakin kurang diberikan perhatian.

Katanya, ibu bapa, khususnya dalam kalangan masyarakat Kayan dan Orang Ulu, perlu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan warisan budaya kepada anak-anak sejak kecil bagi memastikan tradisi berkenaan terus dikenali dan diwarisi.

BERITA LAIN

30 peserta pelajari teknik asas kraf manik

Keindahan susunan ratusan manik halus yang kelihatan sederhana menyimpan keunikan seni, ketelitian dan identiti budaya masyarakat Kayan Belaga yang diwariskan sejak turun-temurun. Keunikan itu terserlah

Daripada latihan kepada pembinaan kompetensi

Apabila pengurus lepas tangan Satu lagi kelemahan kebanyakan organisasi ialah kecenderungan mereka menganggap bahawa keperluan latihan merupakan tanggungjawab HR semata-mata. Sebenarnya, tanggungjawab itu bukan terletak

BERITA TERBARU