Buaya sesat dalam kolam ditangkap

KUCHING: Seekor buaya ditangkap daripada sebuah kolam ikan yang terletak di Batu 35, Jalan Berjaya, Serian hari ini.

Buaya sepanjang tiga meter dengan berat kira-kira 250 kilogram itu ditangkap selepas memakan pancing pemilik kolam berkenaan.

Sebaik mendapati pancingnya dimakan buaya itu pada sekitar jam 8.30 pagi, pemilik kolam terbabit segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (Bomba) Serian untuk bantuan.

Menurut Pengarah Bomba Sarawak, Khirudin Drahman, tujuh anggota bomba Serian yang tiba di lokasi kemudian menggunakan tali membuat ‘running bowline’ bagi mengikat mulut buaya tersebut dan terus menarik ke darat.

“Buaya itu dipercayai sesat dalam kolam berkenaan dan telah memakan pancing yang dipasang pemilik kolam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menambah setelah berjaya ditarik ke darat, buaya itu kemudian ditutup mata menggunakan guni serta diikat kaki dan ekor.

Katanya reptilia itu diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut, dan kini ditempatkan sementara di Jong Crocodile Farm.

Buaya yang ditangkap daripada sebuah kolam di di Batu 35, Jalan Berjaya, Serian hari ini.