Bubu KELI, jerat KERUAK

BERBEKALKAN sebotol air kopi dan ubi rebus, saya bersama-sama Pak Usu memulakan operasi menjerat burung keruak (ruak-ruak).
Masing-masing parang di pinggang. Sementara di dalam poket seluar ada segulung benang.
Kami berdua mula berjalan mencari laluan yang biasa dilalui burung keruak ketika keluar mencari makanan.
Saya tiada pengalaman menjerat keruak, tetapi Pak Usu sudah biasa.
Dia orang kampung jati. Setelah 10 minit berjalan dan meninjau kawasan rumput di kebun, kami berjaya menemui laluan keruak.
Seekor keruak telah melalui kawasan itu.
Kami bersembunyi sebentar di celah pokok meninjau dari jauh untuk melihat arah perjalanan keruak tadi.
Setelah puas memerhati, kami mula memasang jerat.
Pak Usu mengeluarkan parang memotong ranting kayu sepanjang dua kaki.
Benang juga disukat sekitar sepanjang dua kaki.
Hujung benang diikat dengan hujung kayu tadi.
Sementara hujung benang yang satu lagi kami buat jerat.
Benang tadi kami bentukkan menjadi bulatan dan diletakkan di tanah dan disembunyikan menggunakan rumput-rumput kering.
Di tengah-tengah bulatan kami letakkan sedikit makanan sebagai umpan.
“Jerat dah siap dah… kita polah sigek gik jerat di kawasan lain,” ajak Pak Usu.
Saya yang pertama kali ikut hanya menganggukkan kepala. Bukan jerat lain yang belum dipasang terbayang di fikiran, tetapi hasil yang akan diperoleh.
Setelah siap dua jerat dipasang, kami berdua duduk di bawah pokok kelapa.
Sambil makan ubi kayu rebus dan minum air kopi, kami berbual-bual kisah di kampung.
Ketika itu, saya belajar darjah empat.
Di situ, saya belajar kehidupan di kampung.
Biasanya setiap kali ke kampung, saya dan Pak Usu melakukan banyak aktiviti dari pagi hingga petang.
Menjerat keruak antara aktiviti yang tidak ketinggalan dilakukan.
Setelah lebih 30 minit berehat, kami perlahan-lahan berjalan menuju jerat yang sudah dipasang.
Jerat pertama tidak mengena. Kami agak hampa.
Tiba di jerat kedua, kami terlihat keruak sudah terjerat. Kaki keruak terikat pada benang yang kami jadikan jerat tadi.
Pak Usu cepat-cepat mendapatkan keruak itu.
“Kita mesti cepat memeriksa jerat… mun sik terus mati keruak tok,” jelas Pak Usu.
Saya hairan. “Kenak Su?” tanya saya.
“Mun jerat tok kenak kaki burung sik hal, mun tersangkat dengat leher… cepatnya mati.” jelas Pak Usu lagi.
Biasanya, jika burung hampir nak mati, Pak Usu akan segera menyembelih burung tersebut.
Sebab itulah, Pak Usu turut membawa parang yang diikat di pinggangnya. Burung yang masih hidup dibawa pulang.
Biasanya, kedua-dua ekor burung berjaya diperoleh dan dibawa pulang.
Bubu Keli
Sekitar 11 pagi, kami berdua balik daripada menjerat keruak.
Aktiviti kami tidak terhenti di situ. Bermula tengah hari, kami berdua menyiapkan pula bubu untuk menangkap ikan keli.
Dalam tiga bubu kami sediakan. Setelah berehat, sekitar 4 petang, saya, Pak Usu dan Pak Wa bergerak ke kebun datuk.
Kami menyusuri tebing parit kebun untuk ke kawasan pinggir hutan.
Kami mahu menangkap sebanyak mungkin keli hutan.
Kerja menangkap keli biasanya diketuai Pak Wa.
Dia bukan sahaja mahir membuat bubu menggunakan buluh, malah tahu kawasan yang banyak keli.
Setelah beberapa minit berjalan, Pak Wa mengajak kami berhenti di satu parit yang penuh dengan semak.
Pak Wa memberitahu, “sitok bagus kita letak bubu.”
Saya hanya memerhatikan apa-apa yang dilakukan oleh Pak Wa dan Pak Usu dan cuba belajar.
Setelah siap, kami pulang ke rumah.
Biasanya hampir 6 petang kami sudah berada di rumah.
Aktiviti Kampung
Keesokan hari, selepas sarapan saya bersedia mengambil semula bubu yang dipasang petang semalamnya.
Kali ini tiada bekal, tetapi ada beberapa beg untuk menyimpan keli yang diperoleh.
Sangkaan kami betul.
Ketiga-tiga bubu yang dipasang berhasil.
Puluhan ekor keli di dalam satu bubu.
Disebabkan ada bisa keli, saya hanya memerhatikan Pak Wa dan Pak Usu mengangkat bubu dan menyimpan ikan yang diperoleh.
Bermakna, dapat kami makan keli panggang. Ini antara aktiviti yang pernah saya lakukan.
Hari ini agak kurang kegiatan ini. Memancing di tepi parit pun sukar untuk dilihat.
Kanak-kanak dan remaja sekarang lebih tertumpu dengan permainan gadjet sehingga menjejaskan kesihatan.
Malah juga melibatkan orang dewasa. Seperti yang berlaku beberapa hari lalu apabila seorang lelaki berusia 35 tahun diserang strok selepas dipercayai ketagihan melampau bermain permainan video dalam talian.
Ini bukan kes pertama, tetapi sudah banyak kali terjadi.
Sebenarnya banyak lagi aktiviti menyihatkan boleh dilakukan. Jika masih “mempunyai” kampung halaman, jenguklah kampung.
Bawa anak-anak melakukan apa-apa aktiviti orang kampung.
Ini lebih menyihatkan.