ARTIKEL

MENARIK… Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi melakukan demonstrasi masakan bubur pedas dibantu oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah pada Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 di sini, hari ini. FOTO: MOHD ALIF NONI

Bubur pedas Sarawak menuju pasaran komersial

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Koperasi Perkumpulan Wanita Sarawak Berhad (KOPERWANIS) berhasrat mengangkat bumbu bubur pedas sebagai produk ikonik Sarawak.

Pengerusi KOPERWANIS, Norjanah Razali, berkata bubur pedas merupakan sajian tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang perlu dipelihara dan dimartabatkan agar tidak luput ditelan zaman.

“Bubur pedas selalunya dimasak setiap kali menjelang bulan Ramadan dan elemen paling penting bagi sajian ini ialah bumbunya.

“Oleh itu, kita mengadakan pertandingan bumbu bagi mengenal pasti resipi terbaik yang memenuhi standard resipi bubur pedas Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Beliau menambah, pertandingan tersebut terbuka kepada peserta dari seluruh cawangan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).

“Setiap cawangan terlibat telah menghantar dua peserta, iaitu cawangan Kuching–Samarahan, Seri Aman–Betong, Sibu–Sarikei–Kapit–Mukah, Miri–Bintulu serta Limbang–Lawas.

“Sebanyak 10 penyertaan diterima, namun hanya sembilan layak bertanding. Daripada jumlah itu, pemenang telah dikenal pasti dan resipi tersebut akan dijadikan produk Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut, Norjanah berkata pertandingan bumbu bubur pedas itu telah dimenangi oleh peserta dari Cawangan PPWS Sri Aman.

“Pemenang dipilih berdasarkan keaslian resipi selepas melalui penilaian resipi bertulis serta semakan silang video proses penyediaan.

“Penilaian dibuat dengan teliti bagi memastikan resipi tersebut adalah asli dan dihasilkan sendiri oleh peserta sebelum diiktiraf sebagai pemenang,” tegasnya.
Mengulas perancangan menghasilkan produk Sarawak, beliau berkata resipi pemenang akan diusahakan oleh KOPERWANIS.

“Resipi pemenang ini akan diusahakan dan dijadikan produk komersial secara berperingkat.

“Kita akan memulakan penghasilan secara kecil-kecilan terlebih dahulu, mendapatkan pensijilan halal serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal sebelum dikembangkan mengikut permintaan pasaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang juga penaung PPWS turut hadir merasmikan majlis penutupan pesta berkenaan.

Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 turut diserikan dengan segmen demonstrasi masakan bubur pedas oleh Toh Puan Fauziah dibantu oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU