KUCHING: Masyarakat Bisaya harus terus mengamalkan dan melestarikan adat tradisi, bahasa serta kebudayaan mereka.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai, berkata ia memandangkan dalam arus globalisasi dan kemodenan, banyak budaya kecil semakin terhakis dan hilang identiti.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada masyarakat Bisaya.
“Kita mesti pastikan bahawa generasi muda mengenali asal usul mereka, memahami bahasa, menghargai adat resam dan berbangga dengan identiti Bisaya.
“Inilah yang menjadikan komuniti Bisaya unik, sekali gus menjadi aset yang bernilai dalam kepelbagaian masyarakat Sarawak,” katanya ketika berucap sempena Majlis Badudun Badapun 2025 anjuran Persatuan Bisaya Sarawak Cawangan Bandar Kuching (PBSCK) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Turut hadir Penasihat Persatuan Bisaya Sarawak, Datu Antonio Kahti Galis, dan Pengerusi Persatuan Bisaya Sarawak Cawangan Bandar Kuching, Datu Jack Anak Liam.
Dalam pada itu, Sikie turut mengingatkan masyarakat Bisaya agar turut sama menguasai segala bidang dan terlibat secara aktif dalam pembangunan negeri, sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi, perniagaan, pertanian, teknologi mahupun ekopelancongan.
“Komuniti Bisaya mesti berani bersaing dan merebut peluang yang ada.
“Saya menyeru anak-anak muda Bisaya, khususnya mereka yang menetap di bandar, agar jangan melupakan kampung halaman.
Bantulah saudara-mara kita di Bahagian Limbang supaya mereka juga dapat mengecapi kemajuan yang sama dengan komuniti lain di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Sikie memuji inisiatif PBSCK kerana mengambil peranan sebagai duta komuniti Bisaya di Kuching serta sentiasa mengambil tahu sekiranya terdapat komuniti Bisaya yang sakit serta dirujuk untuk mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak atau di Pusat Jantung.
“Selain melawat, ahli PBSCK akan menyumbang RM100 kepada mereka yang dimasukkan di pusat rawatan berkenaan.
“Jumlah RM100 mungkin tidak besar tetapi sangat bererti bagi mereka yang sangat memerlukan,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga kagum dengan inisiatif Persatuan Bisaya Sarawak yang berjaya menganjurkan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau sehingga mencecah 20 siri.
Katanya, pesta itu bukan sahaja memperkenalkan adat tradisi Bisaya, malah telah menjadikannya sebagai aset pelancongan Sarawak yang terkenal, khususnya di Limbang.




