ARTIKEL

Rakam kenangan… Dr Jerip merakam kenangan bersama-sama tetamu yang hadir.

Budayakan gaya hidup sihat sebagai rutin harian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat luar bandar diteruskan melalui penganjuran Program Jelajah Jom Sihat siri keempat 2025, anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching yang berlangsung hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang kini giat dilaksanakan sebagai gerakan nasional merentas sektor, bukan sekadar kempen kesihatan biasa.

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Johnny Pangkas, antara matlamat utama program ini adalah untuk menyediakan saringan kesihatan awal secara percuma kepada komuniti setempat, meliputi tekanan darah, diabetes, kesihatan mental dan kesihatan oral.

“Penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis adalah ‘musuh senyap’ dalam masyarakat kita. Pencegahan awal melalui saringan percuma ini penting untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius pada masa hadapan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Jom Sihat siri keempat tahun 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil di sini, hari ini.

Tambah Dr Johnny, program ini turut mengangkat peranan MyCHAMPION, individu terlatih dalam komuniti yang berperanan sebagai influencer kesihatan di peringkat akar umbi. Golongan ini menjadi pemangkin perubahan tingkah laku sihat dalam kalangan penduduk tempatan.

“Pendekatan melalui MyCHAMPION amat efektif kerana mereka lebih dekat dengan komuniti dan mampu mempengaruhi perubahan tingkah laku secara konsisten,” tambah Dr Johnny.

Selain saringan kesihatan, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti senamrobik, pemeriksaan kecergasan, pameran interaktif, kaunter perkhidmatan kesihatan, aktiviti kanak-kanak serta jualan Rahmah Madani, bagi menarik penyertaan menyeluruh daripada segenap lapisan masyarakat.

Dr Johnny turut menekankan bahawa penyertaan aktif komuniti menjadi asas kejayaan program ini.

Beliau menyeru semua yang hadir supaya menjadikan amalan gaya hidup sihat sebagai rutin harian dan bukan sekadar semangat sementara ketika menghadiri program.

“Kami mahu rakyat bukan sahaja menyertai program ini, tetapi membawa pulang ilmu dan terus mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Inilah matlamat sebenar ANMS, masyarakat sihat, negara sejahtera,” katanya.

Program ini turut memperlihatkan sinergi kukuh antara pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO serta kepimpinan masyarakat dalam memperkukuh sistem sokongan kesihatan di peringkat komuniti, khususnya di kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian lebih.

Jelajah Jom Sihat dijadual diteruskan ke beberapa lokasi lain sepanjang tahun sebagai langkah memperluaskan capaian dan kefahaman mengenai ANMS, seiring usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang lebih sihat, cergas dan berdaya tahan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU