BINTULU: Kerajaan Persekutuan digesa menyemak semula pelaksanaan mekanisme baharu subsidi diesel bagi memastikan proses permohonan lebih mudah, cekap dan memenuhi keperluan rakyat serta komuniti perniagaan, khususnya di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata pelaksanaan subsidi diesel menerusi Program BUDI MADANI Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ketika ini menimbulkan beberapa cabaran di peringkat pelaksanaan, termasuk isu kelayakan permohonan, kelewatan semakan sistem serta liputan subsidi yang belum menyeluruh.
Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pengguna individu, malah memberi kesan langsung kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat logistik serta pengusaha pengangkutan yang bergantung kepada diesel untuk operasi harian.
Menurutnya, terdapat juga aduan berkaitan peniaga yang gagal mendapatkan subsidi walaupun menggunakan diesel secara aktif, selain pemohon yang memenuhi syarat tetapi masih menunggu kelulusan akibat proses semakan sistem.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan semakan permohonan serta menambah baik sistem digital sedia ada bagi mengurangkan kelewatan yang boleh menjejaskan produktiviti dan pendapatan pengusaha.
Dalam pada itu, Johnny Pang mencadangkan agar syarat kelayakan dan klasifikasi kenderaan di bawah mekanisme subsidi diesel disemak semula supaya lebih banyak kenderaan komersial dan logistik layak menerima subsidi.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan dasar berkenaan perlu mengambil kira faktor geografi Sarawak serta kebergantungan masyarakat terhadap kenderaan diesel, selain mencadangkan kuota subsidi disesuaikan mengikut keperluan setempat bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar tersebut.



