ARTIKEL

Buka banyak peluang niaga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menjalankan rundingan bersama-sama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung isu komersial.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan NegeriPersekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Petronas akan membayar Cukai Jualan Negeri (SST) melibatkan tujuh anak syarikatnya dengan jumlah sekitar RM2.8 hingga RM3 bilion bagi tahun 2019.

“Ini merupakan pendapatan tambahan kepada Sarawak atas apa yang kita terima sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Projek Pembesaran Jalan Tan Sri Abang Ikhwan Zaini di Bulatan Jalan Tan Sri Ikhwan Zaini, Petra Jaya di sini, semalam.

Beliau yang menjelaskan tentang tindakan Kerajaan Sarawak selepas keputusan untuk menarik balik saman terhadap Petronas itu, katanya selain bersetuju untuk membayar SST pihak mereka juga sedang berunding mengenai isu komersial.

“Kita berharap lebih banyak lagi perniagaan komersial seperti peruncitan, hiliran seperti pengedaran gas, kerana perkara tersebut telah diberikan sepenuhnya kepada Sarawak.

“Jadi, ini akan membuka banyak peluang perniagaan untuk orang-orang Sarawak dan syarikat dari negeri ini,” jelasnya.

Menjelas tentang nilai bayaran cukai, tambahnya ia merupakan bayaran bermula dari tahun 2019 dan akan diteruskan setiap tahun.

“Kita tidak tahu jumlah bayaran cukai untuk tahun yang akan datang tetapi kita menganggarkan ia sekitar RM2.8 bilion hingga RM3 bilion.

“Bagaimanapun, kita perlu membuat kiraan melibatkan jumlah jualan, jumlah yang telah dikeluarkan, kadar bunga dan penalti kerana ia perlu dikira secara terperinci.

“Ia termasuk dengan melakukan rujukan kembali kepada harga minyak dunia berapa jualan, jika jualan tinggi maka cukai juga tinggi begitu juga sebaliknya,” ujar Hasidah.

Untuk rekod, Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri telah menarik balik kes sivil yang difailkan terhadap Petronas bagi tujuan menuntut semula SST berjumlah sebanyak RM1.3 bilion bagi tempoh Januari ke Jun 2019, termasuk denda untuk pembayaran lewat dan faedah.

Petronas juga telah menarik balik tuntutan balas saman mereka terhadap Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri.

Selain itu, tuntutan balas saman ini pada awalnya dibuat kerana mereka mendakwa tindakan Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan untuk mengenakan SST ke atas produk petroleum adalah tidak sah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU