ARTIKEL

Buka peluang perniagaan rakyat tempatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Belanjawan 2027 mesti membawa perubahan nyata kepada masyarakat luar bandar yang masih tercicir daripada arus pembangunan, bukan sekadar menambah peruntukan atau mengulangi alasan bahawa pembangunan di kawasan berpenduduk berselerak memerlukan kos tinggi.

Fellow Akademi Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Jayum Jawan menegaskan, banyak penempatan luar bandar telah wujud sejak 1970-an, namun sebahagiannya masih berdepan kekurangan infrastruktur asas sehingga menyebabkan penduduk meninggalkan kawasan berkenaan untuk mencari pekerjaan.

Tambah Fellow di Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu, keadaan tersebut akhirnya mewujudkan komuniti yang semakin berusia dan terpinggir, justeru kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi menangani masalah tersebut dan tidak terus menggunakan alasan sama mengenai kos pembangunan yang tinggi.

“Dasar yang baik perlu mencari penyelesaian baharu dan tidak mengulangi alasan lama mengapa kawasan luar bandar sukar serta mahal untuk dibangunkan,” katanya kepada Suara Sarawak ketika diminta mengulas jangkaan terhadap Belanjawan 2027, semalam.

Jayum yang juga Profesor Adjung di Institut Pengajian Borneo, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memberitahu, walaupun Sarawak sering dilihat sebagai negeri yang mempunyai hasil dan sumber pendapatan kukuh, manfaat pertumbuhan ekonomi perlu diagihkan secara lebih menyeluruh kepada rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar utama.

Tambahnya, perkembangan industri baharu ketika ini juga perlu dinilai dari sudut manfaatnya kepada penduduk tempatan, khususnya masyarakat di luar Kuching, Samarahan, Sibu, Miri dan Bintulu.

“Usaha ke arah perindustrian baharu dilihat membuka peluang kepada tenaga kerja asing, tetapi belum benar-benar memberi manfaat kepada penduduk yang berada di luar pusat bandar utama,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, projek mega kerajaan perlu dipastikan mampu membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat tempatan daripada pelbagai komuniti, bukannya tertumpu kepada pemain perniagaan tertentu.

Manfaat projek berskala besar juga perlu diagihkan dengan lebih meluas supaya mampu membantu mengurangkan kadar pengangguran tempatan, bukannya mewujudkan lebih banyak peluang kepada pekerja asing kerana kos tenaga kerja yang lebih murah.

Mengenai kos sara hidup, Jayum menjangkakan bantuan tunai mungkin menjadi antara komponen penting Belanjawan 2027 berikutan pilihan raya negeri yang semakin hampir, namun mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada pendekatan berkenaan.

“Bantuan tunai mungkin diteruskan atau ditambah bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pekerja, tetapi ia adalah pendekatan jangka pendek dan boleh memberi tekanan yang tidak perlu kepada kewangan negeri.

“Ia bukan sesuatu yang mampan,” tegasnya.

Dalam aspek pembangunan dan autonomi ekonomi, Jayum berkata, kerajaan perlu menilai dengan teliti sektor yang benar-benar memerlukan perbelanjaan fiskal kerana sumber kewangan negeri mempunyai had.

Katanya, perbelanjaan fiskal penting untuk merangsang ekonomi dan pertumbuhan, tetapi kerajaan perlu memahami bahawa keupayaan perbelanjaan mempunyai batas dan tidak boleh bergantung kepada sumber kewangan tanpa penghujung.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perbelanjaan untuk membangunkan infrastruktur asas luar bandar merupakan pelaburan yang wajar kerana penduduk di kawasan berkenaan turut mempunyai hak untuk menikmati kemudahan asas seperti dinikmati masyarakat bandar.

“Penduduk luar bandar tidak seharusnya terus menunggu. Mereka juga pembayar cukai dan berhak menikmati manfaat daripada hasil cukai yang dibayar untuk menyediakan kemudahan asas yang sama,” ujarnya.

Justeru, katanya, Belanjawan 2027 akhirnya perlu mencerminkan pendekatan pembangunan yang lebih inklusif dan adil dengan memastikan pertumbuhan ekonomi, projek mega serta hasil negeri diterjemahkan kepada peluang dan kemudahan yang benar-benar dirasai rakyat hingga ke kawasan luar bandar.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU