Bukan kerana Kasut Emas

TONGGAK utama Kuching FA, Joseph Kallang Tie, 32, langsung tidak terfikir mengenai anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) sebaik Liga M3 dibuka tirainya pada pertengahan Februari lalu.

Sebaliknya pemain yang berasal dari Long Ikang Kuala Baram itu lebih fokus kepada usaha untuk membantu pasukan, walaupun pada hakikatnya “menjaringkan gol” merupakan sebahagian daripada usaha tersebut.

Setelah 128 hari berlalu, Joseph bukan sahaja berjaya membantu pasukan, tetapi muncul sebagai penjaring terbanyak dengan sembilan gol setakat ini.

“Saya lebih fokus kepada kejayaan pasukan daripada memikirkan mengenai anugerah penjaring terbanyak.
“Namun saya berasa amat gembira jika setiap jaringan saya itu akan membantu pasukan,” kata Joseph.

Petang Ahad lalu, Joseph yang masuk pada babak kedua sekali lagi muncul sebagai penyelamat Kuching FA apabila menjaringkan gol penyamaan 1-1 ketika menentang DDM di Padang Akademi KLFA.

JOSEPH… Ayam tambatan Kuching FA.

Walaupun beraksi dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya ekoran kecederaan pangkal paha, tetapi ia tidak mematahkan semangat Joseph untuk berjuang sepenuh tenaga.

“Kesakitan masih terasa… tetapi usaha yang kami lakukan berbaloi.
“Kami sepatutnya pulang dengan tiga mata, tetapi kami akur, bukan rezeki kami.

“Yang pasti, kami masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah,” jelas bekas penyerang Sarawak, Terengganu, Pahang dan Selangor itu.

Dalam perlawanan di padang rumput tiruan itu menyaksikan Kuching FA mendominasi perlawanan dan mencipta sekitar lima hingga enam peluang keemasan, sambil DDM hanya mencipta satu peluang.

Kuching FA sepatutnya boleh menang dengan empat hingga lima gol. Bagaimanapun, bagi jurulatih, Ideris Untong anak-anak buahnya telah beraksi dengan begitu baik, cuma tiada tuah untuk menang.

Mereka akan menentang Penjara FC di Stadium Sarawak Sabtu ini (8.15 malam). Di atas kertas, Kuching FA dijangka akan menambah tiga lagi mata.

PROFIL JOSEPH
* Nama Penuh: Joseph Kallang Tie
* Posisi: Tengah/Penyerang/Sayap
* Tarikh Lahir: 9 Mac 1987
* Umur: 32 Tahun
* Asal: Long Ikang, Kuala Baram.
* Adik-Beradik: Empat orang (anak bongsu)
* Ketinggian: 168 sentimeter (5 kaki 6 inci)
* Berat Badan: 66 kilogram
* Bekas pasukan: Malaysia, Sarawak, Terengganu, Pahang dan Selangor.
* Pencapaian: Juara Liga Perdana 2013 (Sarawak), juara Piala FA (Terengganu).

LIGA M 3 2019

SABTU (29 Jun)
Kuching FA Lwn Penjara
(Stadium Sarawak, 8.15 mlm)

P M S K J B MT
1. Kuching 9 7 2 0 22 4 23
2. Kelantan United 9 7 1 1 27 4 22
3. Armed Forces 9 6 2 1 15 5 20
4. DDM 9 6 1 2 28 16 19
5. Batu Dua 9 5 1 3 16 6 16
6. Puchong Fuerza 8 4 2 2 18 12 14
7. BTK 9 3 3 3 21 14 12
8. Penjara 9 3 2 4 13 21 11
9. Ultimate 9 2 3 4 15 18 9
10. SAMB 8 2 1 5 9 15 7
11. Johor Bahru 9 1 4 4 16 20 7
12. Tun Razak 9 2 1 6 10 29 7
13. Glory United 9 1 1 7 4 32 4
14. Protap 8 0 1 7 2 26 1

SENARAI PENJARING
9 GOL: Joseph Kallang Tie
4 GOL: Hafis Saperi
3 GOL: Rafiezan Razali
2 GOL: Zulkarnaein Poasa, Muhamad Nur Alif
1 GOL: Sufizal Ismail, Samsu Alam