KUCHING: Haziq Abd Aziz telah menafikan sekerasnya sebagai individu di dalam video seks yang tersebar luas sejak semalam, termasuk rakaman pengakuan yang menamakan dirinya sebagai orang yang bersama seorang lelaki mirip seorang menteri kanan.
Ini dinyatakan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Santubong Ahmad Nazib Johari, selepas beliau menghubungi Haziq untuk penjelasan berhubung skandal itu yang hangat diperkatakan sekarang.
“Beliau menafikan sekerasnya video serta pengakuan yang dimuat naik individu yang tidak bertanggungjawab itu.
“Saya juga cuba menghubungi kenalan rapat Haziq dan berdasarkan teks Haziq kepadanya, beliau juga menafikan semua fitnah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang dikongsikan di Facebook sebentar tadi, bersama Naib Ketua Cabang PKR Santubong Ali Hossen Abang dan Bendahari PKR Cabang Santubong Faizul Ahmad.

Nazib juga berkata setelah melihat secara terperinci video pengakuan yang tular sejak pagi tadi, beliau mendapati individu terbabit adalah sangat berbeza dengan Haziq.
“Tiga hari lalu, saya mengunjungi Haziq untuk ziarah Hari Raya dan melihat gambaran fizikal Haziq dalam video tersebut ia jauh berbeza disebabkan dari segi pergerakan kepala dan badan, mimik muka, kuku dan lebih ketara lagi badan kerana badan Haziq langsung tidak besar seperti individu dalam video itu.
“Dari segi rambutnya juga berbeza kerana semasa berjumpa Haziq tiga hari lalu, saya melihat rambutnya pendek,” katanya.
Beliau menambah rakaman pengakuan itu juga tidak mencerminkan keperibadian Haziq, di mana ia adalah rekaan semata-mata.
Katanya Haziq yang dikenalinya tujuh tahun lalu mempunyai sahsiah diri, agama dan latar belakang yang baik serta berprinsip.
Haziq merupakan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Perusahaaan Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong.