ARTIKEL

Bukan sekadar berkarya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Selalunya kita bercakap soal peranan persatuan penulis dalam memperkasakan agenda bahasa dan sastera.

Jarang sekali kita menyoroti peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh ahli persatuan penulis atau karyawan yang menjadi nadi dan jantung kepada persatuan.

Kali ini, ruangan ini cuba meladeni sudut pandang berkenaan — bagaimana sewajarnya ahli persatuan penulis memainkan peranan untuk menggerakkan bahasa, sastera dan budaya ke satu tahap yang dapat dibanggakan.

Gerakan ini sudah tentu dilaksanakan secara berjemaah melalui persatuan yang dianggotai dan dengan sokongan pelbagai pihak lain yang berkepentingan.

Hakikatnya, bahasa, sastera dan budaya bukan sekadar warisan yang disimpan di muzium, hanya dipamerkan ketika perayaan atau disebut dalam ucapan rasmi sebagai memenuhi atur cara program.

Ketiga-tiganya ialah jiwa sesebuah bangsa.

Melalui bahasa, kita berkomunikasi dan menyampaikan pemikiran.

Melalui sastera, kita merakam pengalaman, menegur ketidakadilan dan membayangkan masa depan.

Melalui budaya, kita mengenali leluhur, menghargai kepelbagaian dan memahami nilai yang membentuk kehidupan masyarakat.

Dalam usaha memelihara dan memperkasakan ketiga-tiga unsur ini, ahli persatuan penulis mempunyai tanggungjawab yang besar.

Mereka bukan sekadar individu yang gemar menghasilkan genre penulisan sastera seperti puisi, cerpen, novel, esei atau drama.

Mereka juga penggerak pemikiran, perakam zaman, pembina jati diri dan penghubung antara generasi.

Mereka berupaya membawa suara masyarakat setempat ke pentas kebangsaan, malah memperkenalkan khazanah negara kepada dunia.

Namun, adakah tugas seorang penulis selesai apabila karyanya diterbitkan?

Adakah kejayaan persatuan hanya diukur melalui jumlah program, bilangan ahli atau banyaknya buku yang dihasilkan?

Tidak semestinya.

Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana kegiatan penulisan memberi impak kepada masyarakat, mengangkat martabat bahasa, menyuburkan pemikiran dan memastikan warisan budaya terus hidup.

Dalam konteks ini, persatuan penulis menjadi medan yang menghimpunkan bakat, menyatukan pemikiran dan menggerakkan tindakan.

Bahasa asas ilmu dan perpaduan

Peranan utama ahli persatuan penulis ialah memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa perpaduan dan bahasa kebudayaan.

Kedudukan bahasa yang kukuh pada peringkat dasar perlu disokong oleh penggunaannya yang bermutu dalam kehidupan seharian.

Setiap karya ialah peluang untuk memperlihatkan keupayaan bahasa Melayu menyampaikan pelbagai gagasan, daripada pendidikan dan teknologi hinggalah kepada ekonomi, alam sekitar serta kemanusiaan.

Komunikasi sama ada dalam majlis rasmi, perkongsian idea di media sosial mahupun dalam kehidupan rutin wajar mengutamakan bahasa Melayu standard.

Berdasarkan keperluan, sudah tentulah bahasa komunikasi lain boleh digunakan.

Ahli persatuan boleh menganjurkan bengkel penulisan rencana untuk murid, guru, penjawat awam dan masyarakat umum.

Bengkel seperti ini bukan sekadar mengajar tatabahasa malah membimbing peserta menyusun hujah atau idea, membina perenggan, memilih istilah yang tepat dan menyampaikan pandangan secara berkesan.

Penulis berpengalaman juga boleh berkongsi teknik menghasilkan tulisan yang mudah difahami tanpa mengorbankan ketepatan.

Media sosial turut membuka ruang yang luas.

Ahli boleh menerangkan peribahasa, memperkenalkan kosa kata, berkongsi petua penulisan dan membetulkan kesalahan bahasa secara berhemah.

Jika ahli menerbitkan kandungan bermutu secara konsisten, persatuan boleh menjadi sumber rujukan bahasa yang dekat dengan masyarakat.

Yang penting bukan sekadar jumlah hantaran tetapi ketepatan, mutu dan manfaatnya kepada pembaca.

Pemerkasaan bahasa Melayu tidak bermaksud menolak bahasa lain.

Malaysia ialah negara berbilang bahasa dan budaya.

Penguasaan bahasa Melayu boleh berjalan seiring dengan penguasaan bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil serta bahasa etnik seperti Iban, Bidayuh dan Melanau serta Dusun dan Kadazan.

Di Sarawak misalnya, penulis boleh mendokumentasikan peribahasa, cerita rakyat dan istilah tempatan kemudian menjelaskannya dalam bahasa Melayu dengan izin serta penglibatan komuniti berkenaan.

Usaha ini memperkaya bahasa kebangsaan sambil menghormati warisan bahasa tempatan.

Sastera cermin masyarakat dan pencetus pemikiran

Sastera bukan hanya tentang keindahan kata-kata atau cerita yang menghiburkan.

Sastera membuka ruang untuk kita memahami kehidupan daripada sudut pandang orang lain.

Cerpen tentang kemiskinan misalnya, boleh membantu pembaca memahami perjuangan sesebuah keluarga keluar dari kemelut kemiskinan.

Puisi tentang sungai boleh mengingatkan masyarakat terhadap tanggungjawab mempertahankan sungai daripada kerosakan.

Novel yang mengangkat kehidupan luar bandar pula dapat memperlihatkan cabaran pendidikan, kemudahan asas dan perubahan nilai yang jarang pendidikan, kemudahan asas dan perubahan nilai yang jarang mendapat perhatian.

Dalam hal ini, ahli persatuan perlu berani mengangkat isu semasa melalui pendekatan kreatif dan bertanggungjawab.

Antara tema yang relevan termasuk pendidikan, integriti, perpaduan, kemiskinan, kehidupan warga emas, cabaran generasi muda, keselamatan digital dan pemeliharaan alam.

Antologi cerpen tentang kehidupan masyarakat sungai di Sarawak contohnya, boleh dihasilkan dan diterbitkan oleh persatuan.

Penulis boleh mendapatkan bahan daripada nelayan, peniaga kecil, guru pedalaman, pengusaha pelancongan dan penduduk rumah panjang.

Antologi itu bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi dokumentasi sosial tentang perubahan masyarakat.

Melalui aktiviti persatuan yang berasaskan komuniti seperti program ‘Sastera Turun ke Komuniti’ di sekolah, perpustakaan, kampung, rumah panjang dan pusat komuniti, penulis boleh mengambil kesempatan untuk mendengar kisah penduduk, mengumpulkan pengalaman dan membimbing peserta menulis tentang kehidupan mereka.

Sastera akan lebih hidup apabila mempunyai hubungan dengan masyarakat bukan sekadar berlegar dalam kelompok penulis sendiri.

Saya teringat bagaimana Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said mengumpul cebisan kisah kehidupan masyarakat dengan merakam momen penting kegiatan manusia dengan catatan-catatan lewat perjalanannya dalam pengangkutan awam.

Terasa berbeza sentuhan penulisannya!

Ahli perstauan terutama yang telah bergelar penulis perlu sentiasa berlapang dada menerima kritikan membina.

Sifat terpuji seperti ini membantu persatuan atau kegiatan yang bertumpu kepada pembinaan budaya kritikan yang sihat dan konstruktif.

Bengkel apresiasi, sesi bedah karya dan diskusi buku boleh membantu ahli memperbaiki mutu penulisan.

Kritikan hendaklah berasaskan hujah bukan sentimen peribadi.

Penulis bersedia menerima teguran sebagai peluang untuk berkembang.

Kesediaan seperti ini akan membantu persatuan memantapkan kematangan profesional dalam menyediakan ruang yang menggalakkan perbezaan pandangan dan memperkukuh budaya ilmu.

BERITA LAIN

PERKIM perlu manfaat platform digital dekati golongan muda

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) perlu menyesuaikan pendekatan dakwah dengan perkembangan semasa termasuk memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi memperluas penyampaian ilmu serta

BERITA TERBARU

PERKIM perlu manfaat platform digital dekati golongan muda

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) perlu menyesuaikan pendekatan dakwah dengan perkembangan semasa termasuk memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi memperluas penyampaian ilmu serta