KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) perlu menyesuaikan pendekatan dakwah dengan perkembangan semasa termasuk memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi memperluas penyampaian ilmu serta mendekati golongan muda.
Premier merangkap Yang Dipertua PERKIM, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan seumpama itu penting kerana perkembangan pesat teknologi dan komunikasi mengubah cara masyarakat mendapatkan maklumat, berinteraksi serta memahami sesuatu perkara.
“Bagaimanapun, teknologi hanyalah alat.
Keberkesanan dakwah tetap bergantung pada ketepatan ilmu, kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej dan keikhlasan kita dalam membimbing masyarakat.
“Pada masa sama, kita perlu memberikan perhatian kepada pembangunan kepimpinan dan pelapis dalam organisasi.
Pelibatan golongan belia perlu diperkukuh supaya mereka mempunyai ruang untuk menyumbang idea, menimba pengalaman serta meneruskan usaha dakwah dan kebajikan PERKIM pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-65 di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.
Tambahnya, selepas lebih enam dekad ditubuhkan, PERKIM memainkan peranan penting dalam perkembangan dakwah Islamiah dan kebajikan saudara baharu di negara ini.
Katanya, perjalanan panjang ini turut mencerminkan komitmen pemimpin, ahli dan sukarelawan yang terus menyumbang tenaga serta masa demi memastikan perjuangan PERKIM dapat diteruskan.
“Sebagai Yang Dipertua PERKIM, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri serta sukarelawan yang sentiasa memberikan komitmen terhadap tanggungjawab ini.
“Sumbangan mereka amat penting, khususnya dalam mendekati masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan perhatian serta bimbingan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, tanggungjawab dakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, malah turut menuntut usaha memperlihatkan nilai Islam melalui akhlak yang baik, keprihatinan dan kesediaan membantu orang lain.
Menurutnya, pendekatan yang penuh hikmah dan kasih sayang akan menjadikan usaha dakwah lebih dekat dengan masyarakat.
“Dalam konteks saudara baharu, tanggungjawab PERKIM tidak terhenti selepas seseorang memeluk Islam. Mereka memerlukan bimbingan berterusan, sokongan kebajikan serta peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.
“Justeru, aspek pendidikan, pembangunan kemahiran dan kesejahteraan keluarga perlu terus diberikan perhatian,” jelasnya.
Dalam perkara berkaitan, beliau juga ingin melihat kerjasama antara PERKIM Kebangsaan dengan PERKIM Bahagian Negeri terus diperkukuh.
“Setiap negeri mempunyai keadaan dan keperluan masyarakat yang berbeza.
Oleh itu, pelaksanaan program hendaklah mengambil kira keperluan setempat supaya bantuan dan bimbingan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
“Saya percaya kita mempunyai ruang yang luas untuk memainkan peranan sebagai sebuah pertubuhan yang bukan sahaja membimbing saudara baharu, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
“Melalui program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan, kita dapat memperlihatkan nilai rahmah yang menjadi teras ajaran Islam,” jelasnya.




