BINTANGOR: Penduduk Rumah Empani, Lubuk Putan, Sungai Meradong, digemparkan oleh kebakaran yang memusnahkan tiga rumah tidak kekal pada pagi tadi.
Kejadian itu turut menjejaskan sebuah stor yang berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.56 pagi.

Beliau berkata, seramai 15 anggota bersama tiga jentera bomba dihantar ke lokasi untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan sekitar.
“Kita tiba di lokasi pada jam 9.00 pagi sebelum berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah panjang yang berhampiran,” katanya kepada media.

Tiada sebarang individu dilaporkan cedera atau menjadi mangsa dalam kejadian itu.
Mahmudin berkata, berdasarkan maklumat awal, rumah terbabit hanya digunakan sebagai tempat persinggahan sementara oleh penghuninya.





