ARTIKEL

Abang Johari (duduk tengah) merakam gambar kenangan bersama ahli PERKIM pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan Kali Ke-65 yang berlangsung di Hotel Pullman Kuching, malam tadi. | Foto: Ramidi Subari

Pengurusan aset wakaf perlu lebih proaktif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak berhasrat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh pengurusan aset wakaf menerusi pendekatan yang lebih proaktif dan menyeluruh.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat nasional bagi membolehkan kaedah pengurusan aset wakaf ditambah baik bagi memastikan aset berkenaan dimanfaatkan sewajarnya.

“Saya akan berusaha membawa perkara ini ke peringkat nasional dan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya kita mencari pendekatan yang lebih proaktif serta meneliti dengan lebih mendalam kaedah pengurusan aset yang diamanahkan dan berada di bawah tanggungjawab kita,” katanya.

Abang Johari menyantuni tetamu yang hadir. Foto: Ramidi Subari

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan Kali Ke-65 yang berlangsung di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.

Yang Dipertua PERKIM itu turut memaklumkan, Sarawak menubuhkan sebuah badan wakaf bagi menguruskan aset wakaf di negeri ini dan turut meminda undang-undang tanah bagi memastikan setiap hartanah yang diwakafkan kepada badan berkenaan didaftarkan atas nama amanah wakaf tersebut, sekali gus memperkukuh tadbir urus serta pengurusan aset wakaf.

Jelasnya lagi, konsep wakaf juga perlu diperluas melangkaui tanah dan aset fizikal, merangkumi idea serta inisiatif yang mampu memperkukuh kedudukan ekonomi masyarakat Islam.

“Dalam hal ini, kami di Sarawak akan memanfaatkan kekuatan yang ada untuk melaksanakan dakwah serta memberikan hala tuju yang tepat berlandaskan ajaran Islam dalam usaha memperkukuh ekonomi masyarakat Islam.

“Walaupun bilangan kami kecil, tetapi kami bekerjasama dan seterusnya memanfaatkan kekuatan yang ada pada Sarawak melalui teknologi yang terkini yang akan memberikan nilai kepada kita.

“Bukan sahaja itu, kita juga berkongsi idea bersama-sama dengan orang bukan Islam supaya mereka juga memainkan peranan serta akan mengangkatkan kedudukan negeri ini ke arah satu kekuatan yang kuat dalam ekonomi baharu,” tegasnya.

Sementara itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Urus Setia PERKIM Kebangsaan, Jawatankuasa Penganjur serta semua pihak yang telah menjayakan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 pada Julai lalu.

“Penganjuran konvensyen ini satu langkah penting dalam memperluas peranan PERKIM, khususnya dalam meneroka potensi wakaf sebagai instrumen pembangunan ummah.

“Konvensyen tersebut telah menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan, pengamal wakaf dan pemimpin masyarakat untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam memperkukuh institusi wakaf dan gerakan dakwah,” katanya.

Beliau turut menghargai Sultan Perak yang berkenan merasmikan seminar tersebut dan memberi beberapa cadangan untuk memperkukuh dakwah melalui wakaf.

“Cadangan itu telah dirujuk kepada jabatan berkaitan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk dinilai dan dipertimbangkan bagi pelaksanaan.

“Wakaf mempunyai potensi besar untuk menyokong usaha dakwah dan kebajikan secara berterusan.

Melalui pengurusan yang baik, manfaat wakaf boleh diperluaskan kepada bidang pendidikan, pembangunan kemahiran kebajikan saudara baru, serta program yang membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Saya tentu sekali berharap segala pandangan dan resolusi yang dihasilkan melalui konvensyen itu dapat diteliti serta diterjemahkan kepada tindakan yang bersesuaian.

Apa yang penting, PERKIM perlu melihat bagaimana pendekatan baharu dapat mengukuhkan sumber dan kepayaan organisasi dan juga negara untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” ujarnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU