KUCHING: Dragon Ark dari Pulau Pinang membuktikan keunggulan dalam Regata Perahu Naga Antarabangsa Ke-12 Sarawak 2026 apabila melengkapkan tiga kejuaraan selepas mengungguli dua acara utama pada hari terakhir pertandingan di Tebingan Kuching, semalam.
Pasukan itu menewaskan wakil China, Liandong Jingzhao, untuk menjuarai kategori Terbuka Perdana 12 Pendayung (DB12), sebelum melengkapkan kejayaan berganda dengan mengatasi PPNS Entulon Sabah dalam final Terbuka Perdana 20 Pendayung (DB20).

Dua kemenangan itu menyusul kejayaan Dragon Ark menguasai kategori Tertutup Malaysia pada Jumaat lalu, sekali gus melengkapkan tiga gelaran sepanjang kejohanan antarabangsa pada 23 hingga 25 Oktober itu.
Ketua Jurulatih merangkap Pengerusi Dragon Ark, Lawrence Koh Soo Choon, berkata pencapaian itu amat bermakna, khususnya dengan kehadiran pasukan antarabangsa berpengalaman serta peningkatan prestasi pencabar tempatan.

“Persaingan tahun ini ternyata lebih sengit dengan kehadiran pasukan kuat dari China, selain pasukan tempatan dari Sarawak dan Sabah yang menunjukkan peningkatan ketara.
“Pasukan dari Putrajaya dan Keris Terbang dari Sarawak juga semakin kuat.

Mereka memberikan cabaran besar dan membuktikan tahap pertandingan kini semakin kompetitif,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Beliau turut menyifatkan peluang bersaing dengan pendayung antarabangsa berpengalaman, termasuk bekas anggota pasukan kebangsaan China, sebagai pengalaman berharga.
“Kami bangga dapat berlumba dengan mereka dan berpeluang menewaskan pasukan yang mempunyai pendayung berpengalaman.
“Sekurang-kurangnya, kejayaan ini membuktikan pasukan Malaysia juga mampu memberikan saingan,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan Dragon Ark bukan sesuatu yang mudah kerana pihaknya perlu mengekalkan tahap kecergasan dan disiplin latihan walaupun kebanyakan pendayung mempunyai komitmen pekerjaan masing-masing.
“Kami semua mempunyai tanggungjawab masing-masing, tetapi tetap berusaha meluangkan masa untuk menjalani latihan pada sebelah petang.
“Persediaan yang baik, tahap kesihatan dan kecergasan pendayung amat penting kerana kami perlu memastikan setiap anggota pasukan benar-benar bersedia menghadapi persaingan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kejayaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk berpuas hati kerana peningkatan prestasi pasukan lawan menuntut Dragon Ark memperkukuh program latihan dan persiapan menghadapi kejohanan akan datang.
Koh turut merakamkan penghargaan kepada penganjur dan masyarakat Sarawak atas layanan mesra sepanjang pasukannya berada di Kuching, selain menyifatkan suasana pertandingan sebagai antara pengalaman yang menyeronokkan buat pendayungnya.
Dragon Ark menamatkan saingan sebagai naib juara kategori Senior B DB12, sekali gus menambah pencapaian pasukan sepanjang kejohanan tersebut.
Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Ke-12 menghimpunkan 80 pasukan dengan 2,450 peserta dari 22 negara, sekali gus memperlihatkan perkembangan acara itu sebagai antara pertandingan sukan air antarabangsa utama di Sarawak.





