SETELAH belasan memblarkan buku menghuni rak di rumah saya, mengikut aturan yang semakin saya sendiri kurang fahami dan mengerti, akhimya saya mengeluarkan semuanya untuk disusun semula.
Pada mulanya, pekerjaan itu kelihatan mudah.
Ya, sekadar mengosongkan rak, membersihkan debu dan untuk kemudiannya nanti mengembalikan buku ke rak baharu, tetapi amat meletihkan.
Namun, sebaik sahaja beberapa judul berada di tangan, saya sedar bahawa tugas ini akan mengambil masa lebih panjang. Setiap buku seakan-akan meminta saya berhenti sebentar.
Saya menyangka sedang mengemas perpustakaan.
Rupa- rupanya saya sedang membuka semula lembaran kehidupan sendiri.
Sebab, lebih 11,000 buku di rak buku berkenaan sebenamya menggambarkan perjalanan hidup dan kerjaya saya sebagai guru, nazir sekolah, pengetua, editor akhbar, pensyarah, penceramah, penganalisis politik, perunding, penyelidik dan pengarang.
Ada keterujaan yang sukar dijelaskan apabila menemukan buku yang sudah lama tidak kelihatan.
Perasaannya seperti terserempak dengan sahabat lama di sebuah kota asing.
Kita mengenali wajahnya, tetapi memerlukan beberapa ketika untuk mengingat kembali tempat pertemuan, perbualan dan pengalaman yang pernah dikongsi.
Kadangkala saya senyum sendirian.
Judul yang sama muncul dua kali, malah ada yang sampai tiga naskhah.
Barangkali saya terlupa pernah membelinya.
Barangkali ketika melihatnya di kedai lain, keinginan memiliki mendahului ingatan.
Begitulah tabiat ganjil seorang pencinta buku. Judul yang menarik dapat mengalahkan keyakinannya bahawa di rumah masih banyak buku menunggu giliran untuk dibaca.
Namun, bukan semua pembelian berulang berpunca daripada kelupaan.
Ada buku yang sengaja saya beli lagi.
Antaranya, Madu dalam Saringan karya Kamala Markandaya, terbitan DBP.
Setiap kali cetakan, semulanya tampil dengan wajah kulit yang berbeza. saya terdorong membelinya.
Ceritanya mungkin tetap sama, tetapi wajah kulit baharunya memberikan suatu kesegaran, seperti seseorang yang dikenali hadir dengan penampilan berlainan.
Orang mungkin bertanya, mengapa perlu memiliki beberapa naskhah karya yang sama?
Saya sendiri tidak mempunyai jawapan yang sepenuhnya rasional.
Hubungan dengan buku memang tidak sentiasa tunduk kepada pertimbangan praktikal dan logik.
Hanya pencinta dan pentaasub buku yang memahaminya.
Ada yang kita miliki kerana isinya, ada kerana pengarangnya, dan ada kerana sesuatu pada naskhah itu menyentuh perasaan.
Bagi pengumpul buku, perbezaan kecil pun boleh membawa makna besar.
Ketika buku-buku itu dikeluarkan, terbentanglah di hadapan saya perialanan lebih empat dekad.
Saya mula mengumpulnya ketika belajar di Universiti Sains Malaysia pada 1978.
Pada usia tersebut, membeli buku bererti memperluas dunia yang masih kecil.
Wang perlu dibahagikan antara pelbagai keperluan dengan desakan, tetapi buku mempunyai daya pujuknya yang sukar dilawan.
Sebuah judul yang diingini sering terasa lebih mendesak daripada keperluan lain.
Sejak itu, tabiat tersebut mengikuti saya ke pelbagai tempat.
Dalam kunjungan ke sekitar 80 kota dunia, kedai buku hampir sentiasa menjadi persinggahan wajib.
Sesebuah kota terasa belum benar-benar saya kenali sebelum saya memasuki kedai bukunya.
Di situ, saya dapat melihat perkara yang difikirkan masyarakatnya, sejarah yang dipelihara dan persoalan yang sedang menggugat atau menggembirakan kehidupan mereka.
Kedai buku di London sentiasa mempunyai tarikan istimewa.
Saya menikmati kesempatan menyusuri rak dan menemukan judul yang sebelumnya tidak pernah terlintas dalam fikiran.
Bersua dengan judul yang amat diperlukan mendatangkan kegembiraan yang sukar digambarkan.
Ada kenikmatan dan keseronokan dalam pencarian tanpa sasaran terlalu khusus.
Kita datang untuk menjejaki sebuah buku, kemudian pulang bersama beberapa judul lain yang seolah-olah telah lama menunggu ketibaan kita di sudut rak tersebut.
Jakarta pula memanggil saya melalui kekayaan buku Indonesianya.
Bahasanya yang dekat dengan kita membuka jalan kepada pemikiran, pengalaman dan kepekaan yang kadangkala berbeza.
Keinginan mendapatkan buku menjadi antara sebab saya sering berkunjung ke kota itu.
Setiap kepulangan membawa tambahan pada rak, tetapi yang lebih penting, tambahan pada ruang pemahaman saya tentang kehidupan, manusia, masyarakat kebudayaan dan dunia penulisan.
Setiap kota dan negara mempunyai kelebihannya sendiri.
Sebab itulah himpunan di rumah terasa seperti peta perjalanan yang dapat disentuh.
Buku menjadi cenderamata yang terus bekerja setelah perjalanan berakhir.
Apabila dibuka, ia menyambung pengalaman yang bermula jauh dari rumah.
Bertahun-tahun kemudian, kehadirannya masih mampu menghidupkan kembali rasa ingin tahu yang mendorong saya membelinya pada suatu ketika dahulu.
Dalam kesibukan menyusun, saya turut berhadapan dengan hakikat yang sedikit mengusik -banyaknya buku yang masih belum selesai dibaca.
Ada yang baru diselak, ada yang dibaca separuh, dan ada yang terus menunggu.
Memang ada buku yang dibaca sekali, ada buku seperti novel Madu Dalam Saringan dibaca belasan kali, dan puisi sepert Menangguh Kebenaran karya Baha
Zain dibaca barangkali lebih 250 kali.
Ada buku yang masih seperti dalam keadaan asal asal, ada buku yang penuh dengan contengan dan garisan, ada buku yang masih berbalut plastik, dan ada buku yang sudah kusam dan rosak.
Ada buku yang dirujuk sekali-sekala, dan terus terang, ada buku yang langsung tidak dibaca.
Jumlahnya tidak banyak.
Ada buku yang dibaca 20 tahun kemudian.
Misalnya, novel Lorong Midag karya Naquib Mahfouz terjemahan Abdullah Hussain dibaca sebelum berkunjung ke Mesir untuk menghadiri majlis konvokesyen anak saya.
Dahulu, keadaan ini mungkin menimbulkan rasa bersalah.
Kini, saya melihatnya sebagai persediaan untuk pertemuan yang belum tiba.
Sesetengah buku memerlukan waktu yang sesuai dalam kehidupan pembacanya.
Sebuah karya yang terasa jauh ketika usia muda mungkin menjadi amat dekat setelah kita melalui kehilangan, tanggungjawab atau kekecewaan.
Buku dan karya yang dibaca untuk kali kedua pada rentang waktu dan usia berbeza, memberi makna dan membawa tafsiran yang berbeza.
Pengalaman mengubah cara kita membaca.
Ayatnya tetap sama, tetapi pengertiannya berkembang bersama usia.
Oleh sebab itu, menyimpan buku juga bererti menyediakan peluang untuk membaca semula dengan kesedaran yang berlainan, ketika diri kita telah dibentuk oleh perjalanan dan peristiwa.
Rak yang dikosongkan turut memperlihatkan perubahan minat saya.
Buku-buku itu menjadi saksi kepada persoalan yang pernah menguasai fikiran, bidang yang ingin diterokai dan cita-cita yang cuba dilaksanakan.
Ada minat yang berpanjangan, ada yang singgah sebentar. Semuanya meninggalkan
Sebuah perpustakaan peribadi, dalam pengertian ini, menyimpan sejarah perkembangan akal pemiliknya, termasuk jalan berliku yang pernah dilaluinya.
Saya juga terfikir tentang betapa banyaknya manusia yang hadir dalam sebuah himpunan buku pengarang, penterjemah, penyunting, penerbit dan penjual yang memungkinkan naskhah itu sampai ke tangan pembaca.
Kita mungkin membaca sendirian, tetapi kesendirian tersebut dipenuhi suara.
Di hadapan rak, saya berasa ditemani oleh pengalaman dan pemikiran manusia yang melampaui sempadan tempat serta zaman kehidupan saya sendiri.
Kerja menyusun ini belum selesai.
Saya masih kerap berhenti, membuka halaman dan membaca beberapa perenggan sebelum teringat tujuan asal.
Namun, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa.
Setelah lebih 40 tahun mengumpul, wajarlah saya meluangkan waktu untuk mengenali semula himpunan ini.
Saya mahu menyusunnya supaya lebih mudah dicapai, dibaca dan terus berguna pada tahun-tahun mendatang.
Apabila semua buku kembali ke rak nanti, saya berharap hubungan kami turut diperbaharui.
Debunya telah dibersihkan, judulnya ditemukan semula, dan keinginan membaca kembali menyala.
Dalam pekerjaan yang sederhana ini, saya memperoleh kegembiraan yang lama terpendam.
Ya, menyedari bahawa sebahagian besar perjalanan hidup saya masih berada di sini, menunggu untuk dibuka, halaman demi halaman.
• Dato Dr Jeniri Amir begitu berminat tentang apa-apa sahaja tentang buku dan dunia perbukuan.





