KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan orang sedang lena, di atas jalan, ribuan bungkus nasi berlauk dan kuih-muih tradisional dari Kelantan sedang menempuh perjalanan ratusan kilometer untuk tiba di tangan pelanggan di Lembah Klang.
Yang menggerakkan rantaian itu antaranya ialah Nasi Berlauk Kelate Express (NBK Express), yang bermula secara kecil-kecilan pada 2015 dengan penghantaran ke Gua Musang dari Tumpat.
Berkongsi perjalanan perniagaan mereka dengan Bernama, peneraju NBK Express Mohd Syafrini Azmi, 38, berkata, usaha membawa nasi berlauk Kelantan ke pasaran luar bermula kira-kira sedekad lalu, hasil cetusan idea sahabatnya Mohd Yusri Mohd Yusoff, 38. Beliau berkata Mohd Yusri bermula dengan menghantar kira-kira 200 bungkus nasi berlauk ke Gua Musang sebelum mereka melihat potensi untuk mengembangkan penghantaran ke Kuala Lumpur yang mempunyai pasaran lebih luas selain komuniti perantau Kelantan yang ramai.
“Pada awal operasi, kami menggunakan Myvi dan pernah juga menyewa Avanza, tetapi apabila ejen semakin ramai, kereta sudah tidak mampu menampung muatan dan makanan pula boleh rosak apabila disusun bertindih. Jadi, kami beralih menggunakan van dan kekal menggunakan kenderaan itu hingga hari ini,” katanya.
Selain nasi berlauk dan nasi kerabu, mereka turut membawa pelbagai kuih dan makanan tradisional Kelantan seperti tepung bungkus, lompat tikam, nasi tumpang, ketupat dan nasi kapit sambal.
Bekalan itu dibawa hampir setiap hari bagi laluan Lembah Klang sebelum diagihkan menerusi rangkaian lebih 80 ejen dan ‘runner’ termasuk ke Negeri Sembilan dan Melaka. Kini mereka menghantar lebih 3,000 bungkus bagi setiap perjalanan ke Lembah Klang, selain membuka laluan baharu ke Terengganu dan Pahang.
Bermula dua bulan lepas, NBK Express turut membuat penghantaran ke Terengganu dan Pahang dengan kira-kira 2,000 bungkus makanan bagi setiap perjalanan ke beberapa kawasan, antaranya Setiu, Kuala Terengganu, Paka, Kuantan dan Rompin.
Mengulas lanjut, Mohd Syafrini berkata NBK Express mendapatkan bekalan daripada lebih 20 pengusaha makanan di sekitar Tumpat, Wakaf Che Yeh dan Machang. Beliau yang menetap di Selangor, berkata bagi laluan Lembah Klang, pemandu mula mengambil bekalan di Tumpat sekitar 10.00 malam sebelum bergerak ke lokasi pengumpulan lain untuk memuatkan makanan daripada pembekal berbeza.
“Di Wakaf Che Yeh, pembekal nasi dan kuih akan menghantar tempahan masing-masing ke tempat pengumpulan sebelum semuanya dimuatkan ke dalam van. Selepas mengambil bekalan termasuk di Machang, van biasanya bertolak ke Kuala Lumpur sekitar 11.00 malam.
“Selepas kira-kira lima jam perjalanan, van boleh tiba di Gombak, Selangor seawal 4.00 pagi sebelum makanan diambil oleh ejen dan ‘runner’ untuk diagihkan di kawasan masing-masing,” katanya, menambah ketepatan masa amat penting kerana sebahagian daripada ejen sudah mula berniaga sekitar 6.30 pagi.
Adat berniaga, Mohd Syafrini berkata mereka juga berdepan pelbagai cabaran termasuk kegagalan van mereka tiba di destinasi akibat insiden seperti kemalangan, mengalami kerosakan dan tayar pecah pengalaman paling sukar dilupakan ialah van NBK Express terbabas di lebuh raya Lingkaran Tengah Utama berhampiran Lipis, Pahang pada 2017.
“Apabila dapat tahu van kemalangan, memang risau kerana perkara pertama yang terlintas ialah keselamatan pemandu. Alhamdulillah mereka selamat, cuma van itu memang
‘total loss’ dan makanan tidak dapat sampai di destinasi,” katanya.
Jelasnya, dalam situasi sedemikian pihaknya turut menanggung kerugian akibat kerosakan makanan selain perlu memulangkan bayaran kepada ejen.
Pada masa sama, Mohd Syafrini berkata perkara paling bermakna sepanjang mengusahakan perniagaan itu per ialah turut membuka ruang rezek buat pengusaha kuih, nasi serta rangkaian penjual di Kelantan dan Lembah Klang.
“Bagi saya, kepuasan itu bukan pencapaian individu sahaja kerana secara tidak langsung usaha ini turut memberi rezek kepada orang lain,” katanya menambah mereka sedang menimbang untuk memperluas laluan penghantaran ke Johor. Sementara itu, pengusaha
restoran Stesen Bukuh di Puchong, Datuk Azri Che Zan berkata pihaknya mula menjual mula menjual nasi bungkus berlauk dari Kelantan sejak premis tersebut dibuka pada 12 September lalu selepas melihat permintaan tinggi terhadap makanan berkenaan di beberapa kawasan lain seperti Shah Alam dan Bangi.
“Tak sangka sambutannya amat memberangsangkan dan jualan tertinggi pernah mencecah kira-kira 2,000 bungkus pada 16 September lepas yang habis dijual dalam tempoh tiga jam, bermula 7.00 pagi,” katanya.
Menurutnya, majoriti pelanggan terdiri daripada orang Kelantan yang mungkin merindui keaslian rasa masakan Kelantan. dengan nasi kapit sambal dan nasi berlauk Kak Chik antara yang paling mendapat sambutan.-Bernama





