Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai Simposium Hari Strok Sedunia 2026 yang bertemakan “Navigasi Kehidupan Selepas Strok”.
Program advokasi strok itu membawa mesej penting tentang usaha memperkasakan pesakit, penjaga dan komuniti dalam menghadapi kehidupan selepas strok.
Program itu menghimpunkan pesakit, penjaga serta profesional kesihatan untuk berkongsi pengetahuan tentang rawatan dan pemulihan strok.
Namun, di sebalik pelbagai perkongsian pakar yang saya dengar, satu perkara benar-benar menarik perhatian saya.
Strok bukan lagi penyakit yang hanya dikaitkan dengan golongan berusia.
Golongan muda yang sedang membina kerjaya, mengejar impian dan merancang masa depan juga berisiko mengalaminya.
Bayangkan seseorang yang baru berusia 30-an, sibuk bekerja, menguruskan keluarga dan mengejar kejayaan.
Pemeriksaan kesihatan sering ditangguhkan kerana kesibukan, manakala keletihan dianggap perkara biasa.
Dia mungkin berasa dirinya masih muda dan cukup kuat untuk menghadapi apa-apa sahaja.
Namun, bagaimana jika suatu hari nanti dia diserang strok ketika sedang merancang masa depan?
Realiti ini sepatutnya menyedarkan kita bahawa usia muda bukanlah jaminan seseorang bebas daripada penyakit serius.
Angka yang wajar membuka mata
Laporan Registri Strok Kebangsaan Malaysia bagi tahun 2010 hingga 2019 menunjukkan peningkatan kes strok dalam kalangan individu berusia bawah 45 tahun.
Pada tahun 2010, peratus kes strok direkodkan dalam kalangan individu berusia bawah 45 tahun, manakala pada tahun 2019, angka itu meningkat kepada 15.5 peratus.
Peratusan pesakit strok berusia bawah 45 tahun yang direkodkan turut menunjukkan peningkatan dalam tempoh tersebut.
Angka ini menunjukkan bahawa strok dalam kalangan golongan muda bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, walaupun perubahan dalam rekod tersebut mungkin turut dipengaruhi oleh peningkatan pengesanan dan diagnosis.
Pada peringkat global pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa sebanyak 11.9 juta kes strok baharu berlaku pada 2021.
Risiko strok sepanjang hayat meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 20 tahun, dengan kira-kira seorang daripada empat orang dewasa dijangka mengalami strok sepanjang hayat mereka.
Statistik ini cukup untuk membuatkan kita berhenti sejenak dan bertanya: Adakah kita benar-benar mengambil berat tentang kesihatan sendiri?
Usia muda bukan jaminan kesihatan
Dalam kehidupan moden, ramai golongan muda terbiasa dengan rutin harian yang tidak menentu.
Ada yang duduk terlalu lama di hadapan komputer, kurang melakukan aktiviti fizikal, kerap mengambil makanan segera serta mengabaikan waktu rehat.
Pemeriksaan kesihatan pula sering ditangguhkan kerana berasa sihat, aktif dan bertenaga, sedangkan faktor risiko sedang berkembang tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, tekanan darah tinggi, diabetes dan paras kolesterol yang tinggi boleh berlaku tanpa gejala yang jelas.
Seseorang mungkin kelihatan sihat, aktif dan bertenaga, sedangkan faktor risiko sedang berkembang tanpa disedari.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 30.2 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap hipertensi, 18.3 peratus menghidap diabetes dan 33.1 peratus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Angka ini bukan bermakna setiap golongan muda yang bekerja hingga lewat malam atau kurang bersenam pasti akan mengalami strok.
Namun, tabiat tidak sihat yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko, terutama apabila disertai masalah kesihatan yang tidak dikawal. Justeru, jangan tunggu sehingga tubuh memberikan amaran sebelum kita mula berubah.
Apabila strok rampas keupayaan
Strok bukan sekadar serangan yang berlaku secara tiba-tiba.
Kesannya boleh mengubah kehidupan seseorang secara menyeluruh.
Ada pesakit yang kehilangan keupayaan untuk menggerakkan anggota badan, berjalan, bercakap atau menguruskan diri.
Bagi mereka yang masih muda, keadaan ini boleh menjejaskan kerjaya, pendapatan, hubungan keluarga dan impian yang sedang dibina.
Dalam simposium berkenaan, saya turut tertarik dengan kisah seorang individu berusia awal 30-an yang mengalami strok kira-kira enam tahun lalu ketika bekerja.
Beliau mengalami afasia, iaitu gangguan bahasa akibat kerosakan pada bahagian otak yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk memahami atau menghasilkan pertuturan.
Pada peringkat awal, beliau tidak mampu mengucapkan sepatah perkataan pun.
Melalui usaha pemulihan yang melibatkan terapi pertuturan, termasuk pendekatan menggunakan muzik dan nyanyian, beliau menunjukkan kemajuan sehingga mampu bertutur tanpa perlu menyanyi.
Kisah ini memberikan satu pengajaran besar bahawa kehidupan selepas strok tidak semestinya berakhir dengan kehilangan keupayaan secara kekal.
Pemulihan yang bersesuaian boleh membantu pesakit meningkatkan kemahiran dan mendapatkan semula sebahagian daripada kebebasan mereka, meskipun hasilnya berbeza mengikut individu.
Namun, proses itu memerlukan masa, kesabaran, sokongan keluarga dan akses kepada perkhidmatan pemulihan.
Bagaimanapun, di Sarawak, akses kepada perkhidmatan pemulihan strok khusus turut menjadi cabaran bagi sesetengah pesakit.
Kekangan kemudahan, tenaga profesional dan kos rawatan boleh menambahkan beban keluarga yang sudah berdepan dengan perubahan besar dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, pencegahan perlu dilaksanakan seiring dengan usaha memperkukuh perkhidmatan rawatan dan pemulihan.
Jangan tunggu sehingga terlambat
Justeru, golongan muda perlu mula bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri.
Lakukan aktiviti fizikal secara konsisten, amalkan pemakanan seimbang, elakkan merokok dan periksa tekanan darah, paras gula serta kolesterol mengikut keperluan kesihatan.
Jika didiagnosis menghidap penyakit kronik, patuhi rawatan dan nasihat profesional kesihatan.
Jangan hentikan pengambilan ubat atau menggantikannya dengan rawatan lain tanpa berbincang dengan doktor.
Dalam masa yang sama, setiap orang perlu mengenali tanda amaran strok, seperti muka menjadi senget, kelemahan atau kebas secara tiba-tiba pada sebelah badan serta kesukaran bercakap atau memahami pertuturan.
Jika tanda-tanda ini muncul, hubungi 999 dengan segera.
Jangan tunggu sehingga gejala pulih sendiri kerana rawatan pantas boleh mempengaruhi peluang pemulihan dan mengurangkan risiko kecacatan.
Penyertaan saya dalam simposium ini membuka ruang untuk saya melihat strok bukan sekadar isu perubatan, tetapi juga isu keluarga, pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat.
Akhirnya, usia muda bukan lesen untuk mengabaikan kesihatan.
Kita mungkin tidak mampu mengawal semua risiko, tetapi banyak faktor risiko boleh dicegah atau dikawal melalui tindakan awal.
Jangan sampai ketika impian sedang berkembang, tubuh pula terpaksa berjuang untuk mendapatkan semula keupayaan yang selama ini dianggap biasa.
Hargai kesihatan sebelum kehilangan mengajar kita nilainya.





