KUCHING: Festival Jabat Sejagat berpotensi menjadi platform kebudayaan yang memperkukuh perpaduan masyarakat serta memperkenalkan seni silat dan sukan tradisional Sarawak kepada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) yang juga pengerusi penganjur, Datuk Dr Wan Ali Tuanku Madhi berkata, festival itu bukan sekadar menghimpunkan pengamal seni bela diri, tetapi turut membawa mesej persaudaraan, persefahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian budaya.
“Warisan budaya perlu terus dipelihara kerana pembangunan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi, infrastruktur dan teknologi, tetapi juga kekuatan jati diri serta nilai murni masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Festival Jabat Sejagat Siri Ke-3 Tahun 2026 di Perkampungan Sukan Sarawak, Petra Jaya, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Wan Ali memberitahu, penganjuran festival itu kesinambungan usaha memartabatkan warisan budaya melalui kerjasama pelbagai pihak serta penglibatan masyarakat pelbagai latar belakang.
Katanya, seni warisan tidak seharusnya sekadar dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah, sebaliknya perlu terus diamalkan, dipelajari dan dikembangkan mengikut perkembangan zaman tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan penglibatan golongan muda bagi memastikan seni silat dan warisan tradisional terus diwarisi oleh generasi seterusnya.
Menurutnya, kanak-kanak, remaja dan belia perlu diberikan pendedahan, peluang serta bimbingan untuk menguasai kemahiran seni tradisional, selain memahami falsafah dan nilai murni yang terkandung di dalamnya.
“Dalam hal ini, guru silat, penggiat seni, pertubuhan masyarakat dan institusi pendidikan mempunyai peranan penting dalam membimbing generasi muda agar menghargai warisan budaya,” tambahnya.
Selain itu, Wan Ali berkata, usaha memartabatkan warisan budaya memerlukan sokongan menyeluruh kerajaan, agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
“Sehubungan itu, PKMS berharap sokongan kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan penganjuran festival berkenaan,” tegasnya.
Beliau yakin dengan perancangan jangka panjang, tadbir urus yang baik dan kerjasama erat, Festival Jabat Sejagat mampu berkembang sebagai acara warisan yang mempunyai identiti tersendiri serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Rumpun Silat Sarawak, agensi kerajaan, penaja, rakan strategik, jawatankuasa pelaksana, guru, sukarelawan dan peserta yang menjayakan festival berkenaan.
Justeru, beliau berharap Festival Jabat Sejagat terus berkembang sebagai wadah perpaduan yang memelihara warisan budaya, mengeratkan hubungan masyarakat dan memastikan seni tradisional kekal relevan untuk generasi akan datang.




