ARTIKEL

Jangan menekan-nekan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERUBAHAN zaman bukan sahaja membawa kemajuan dalam kehidupan, malah turut membentuk generasi baharu dengan cara pemikiran, gaya hidup dan pendekatan berbeza.

Pengelompokan generasi Z atau Gen Z secara umum merangkumi individu yang lahir antara 1997 hingga 2012. Gen Y atau Millennials pula terdiri daripada mereka yang lahir antara 1981 hingga 1996.

Dua generasi tersebut kini membentuk masa depan negara, menyambung legasi generasi sebelumnya — Baby Boomers (1946-1964) dan Generasi X (1965-1980).

Sementara itu, Generasi Alpha ialah generasi yang lahir antara 2010 hingga 2025. Bermakna tahun ini bermulalah generasi baharu iaitu Generasi Beta. Perbezaan latar belakang dan pengalaman hidup antara generasi ini sering mencetuskan pelbagai persepsi.

Perbezaan tersebut bukan sekadar umur atau tahun kelahiran, tetapi turut dipengaruhi keadaan zaman mereka membesar, cara didikan keluarga, perkembangan teknologi, sistem pendidikan, keadaan ekonomi dan nilai masyarakat ketika itu.

Daripada setiap kategori tersebut, Gen Z merupakan generasi yang sering diperkatakan dalam kalangan masyarakat kini sehingga mendapat beberapa nama baharu iaitu generasi rapuh dan generasi strawberi.

Gen Z merupakan generasi yang melalui peralihan daripada era Millennials kepada perkembangan teknologi yang semakin pesat. Membesar seiring kemajuan teknologi menjadikan kehidupan mereka lebih mudah berbanding generasi sebelumnya.

Baru-baru ini juga tular potongan video Ustaz Badlishah Alauddin berkaitan generasi strawberi. Video pendek tersebut juga mendapat ribuan tanda suka dan perkongsian.

Katanya generasi strawberi: “sikit-sikit healing, sikit-sikit self reward. Apabila ditegur jadi toxic workplace, kerja banyak burnout”. Generasi sekarang jangan ditelan. Strawberi tak boleh ditekan. Tak tahan, rapuh, lembut, manja,” katanya.

Namun, keseluruhan konteks menekankan berkaitan ketahanan diri. Cuma yang tular hanya potongan ayat tersebut.

Pun begitu, melabelkan Gen Z sebagai generasi manja merupakan satu penilaian yang terlalu umum. Hakikatnya, ketahanan diri bukan bermaksud seseorang perlu memendam segala tekanan atau berpurapura kuat ketika berdepan kesukaran.

Generasi muda tetap perlu belajar menerima teguran, mengurus emosi dan memikul tanggungjawab, tetapi proses itu perlu disertai bimbingan. Begitu juga, generasi terdahulu wajar memahami bahawa ketahanan yang terbina melalui pengalaman tidak boleh dipaksakan dengan cara yang sama kepada semua orang.

Kalau dibandingkan, pasti berbeza. Malah, dari perspektif lain pula, Gen Z juga boleh berfikiran bahawa generasi sebelum ini kolot dan perlahan dalam digital. Perbezaan cara hidup, khususnya dari segi kestabilan ekonomi dan persekitaran membentuk karakter baharu. Era moden ini juga mempopularkan isu kesihatan mental dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia. Antaranya, kemurungan, gangguan kebimbangan, stres, serangan panik dan bipolar.

Jadi, sekiranya generasi ini terus diremehkan, mungkin sukar untuk mereka mendapatkan pertolongan berkaitan kesihatan mental.

Mungkin ada yang bertanya; bagaimana nak bezakan sama ada mereka benar-benar mengalami masalah kesihatan mental atau hanya ingin mendapatkan perhatian.

Dalam konteks ini, ‘ingin mendapatkan perhatian’ juga memerlukan pertolongan sewajarnya. Ketika masih bertugas sebagai wartawan di lapangan, saya pernah didatangi individu tidak dikenali untuk meminta pertolongan. Lelaki tersebut menyatakan dia banyak masalah dan terfikir untuk menamatkan nyawa.

Dalam keadaan terkejut, saya hanya mampu meminjamkan telefon untuk menghubungi talian HEAL 15555. Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 beroperasi bagi membantu individu yang menghadapi masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan awal.

Individu tersebut menuduh saya memlihara nombor ‘15555’ agak umum. Jadi saya bertindak untuk menghubungi terusi dan sempat untuk menjelaskan situasi tersebut. Setelah yakin, dia memilih untuk menghubungi dan bercakap sendiri.

Cara hidup

Perubahan cara hidup membentuk perilaku dan tingkah laku yang berbeza. Perbezaan inilah yang kadangkala menyebabkan generasi muda dianggap manja oleh sesetengah pihak.

Pada pandangan saya, perbezaan antara generasi tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana kita perlu menerima perubahan yang berlaku seiring peredaran masa.

Penyesuaian cara hidup moden mungkin dilihat sebagai satu bentuk kemajuan, tetapi perubahan itu tetap perlu dihadapi. Kemajuan dan pemodenan bukan sesuatu yang boleh ditolak.

Pertembungan pandangan antara generasi berpotensi mewujudkan jurang komunikasi serta salah faham. Setiap generasi mempunyai pengalaman dan cara pemikiran tersendiri yang membentuk perspektif dan karakter.

Justeru, perkara yang lebih penting ialah mencari persamaan dan mengetepikan perselisihan pandangan. Sikap saling memahami dapat merapatkan jurang antara generasi, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan pemikiran baharu yang lebih baik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU