KUCHING: Kestabilan politik dan kesinambungan dasar ekonomi perlu menjadi keutamaan Sarawak menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) bagi memastikan momentum pembangunan, keyakinan pelabur dan kemampanan kewangan negeri terus terpelihara.
Penganalisis ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober ini bukan sekadar membuka lembaran politik baharu, malah menjadi titik penting untuk menilai hala tuju ekonomi negeri pada masa akan datang.
Menurutnya, kestabilan politik bukan hanya berkaitan kelangsungan kerajaan tetapi turut menentukan konsistensi dasar, keberkesanan institusi dan keyakinan pelabur untuk membuat keputusan pelaburan jangka panjang.
“Pembangunan ekonomi lazimnya memerlukan tempoh lima hingga 10 tahun atau lebih sebelum kesannya dapat dirasai sepenuhnya, khususnya dalam aspek produktiviti, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Perubahan dasar secara mendadak tanpa penilaian menyeluruh berisiko menjejaskan momentum pembangunan, terutama dalam sektor berintensifkan modal seperti tenaga, infrastruktur dan industri berteknologi tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai perspektif ekonomi politik Sarawak.
Dzul Hadzwan menambah, persaingan politik juga perlu mengelakkan kecenderungan menawarkan dasar populis yang memberikan manfaat segera tetapi tidak mengambil kira kemampuan fiskal kerajaan serta kesan ekonomi jangka panjang.
Jelasnya, setiap inisiatif pembangunan perlu dinilai berdasarkan keupayaan kewangan, kesan terhadap produktiviti dan manfaat berterusan kepada rakyat, supaya kos akibat kelemahan perancangan tidak akhirnya ditanggung generasi akan datang.
Pada masa sama, Dzul Hadzwan berpandangan bahawa transformasi ekonomi Sarawak memerlukan penyertaan lebih ramai teknokrat, ilmuwan dan golongan profesional dalam kepimpinan serta proses pembuatan keputusan kerajaan.
Beliau memberitahu, agenda pembangunan yang merangkumi ekonomi digital, peralihan tenaga dan industri berteknologi tinggi memerlukan kepakaran teknikal, kecekapan pengurusan serta kemampuan menilai risiko dan pulangan ekonomi secara berterusan.
Tegasnya, pendekatan ekonomi yang sering dikaitkan dengan Joharinomics memerlukan sokongan kepimpinan yang mampu menterjemahkan visi pembangunan kepada pelaksanaan berkesan, bukan sekadar bergantung kepada komitmen politik.
“Dasar ekonomi yang baik di atas kertas tidak semestinya menghasilkan impak yang diharapkan sekiranya tidak disokong oleh kepimpinan yang memahami aspek teknikal dan cabaran pelaksanaannya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap landskap kepimpinan Sarawak pada masa hadapan memberikan ruang lebih luas kepada generasi muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi, ekonomi dan pengurusan, tanpa mengetepikan pengalaman serta integriti pemimpin sedia ada.
Katanya, kemajuan kecerdasan buatan, automasi, teknologi kewangan dan tenaga bersih sedang mengubah struktur pekerjaan serta persaingan pelaburan, sekali gus menuntut dasar yang lebih dinamik, berasaskan bukti dan berpandangan jauh.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya politik matang yang mengutamakan persaingan idea, kepakaran dan penyelesaian masalah rakyat, berbanding perbahasan yang hanya tertumpu kepada populariti atau kesetiaan politik.
Menurutnya, kekayaan sumber asli sahaja tidak menjamin kemakmuran jangka panjang sekiranya tidak disokong institusi yang kukuh, modal insan berkualiti dan dasar yang mampu meningkatkan produktiviti serta mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ukuran kekuatan ekonomi Sarawak bukan semata-mata pada kemampuan memperkenalkan dasar baharu, tetapi pada keupayaan melaksanakannya secara konsisten, berkesan dan berterusan.
“Kestabilan politik menyediakan asas kesinambungan pembangunan, manakala kepimpinan teknokrat dan profesional memperkukuh pelaksanaan dasar. Budaya politik matang pula memastikan persaingan kepimpinan terus berteraskan ilmu dan kepentingan rakyat,” ujarnya.
Justeru, katanya, ketiga-tiga elemen itu perlu bergerak seiring bagi membina ekonomi Sarawak yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampan untuk generasi akan datang.





