KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memuktamadkan pembahagian empat kerusi bekas Parti Sarawak Bersatu (PSB), termasuk pendirian mengenai parti yang wajar mewakili gabungan itu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Penganalisis politik Dick Lembang Dugun berkata, keputusan itu perlu dibuat secara tuntas dengan memberi peluang kepada parti yang secara tradisinya memiliki kerusi berkenaan.
Beliau mengambil contoh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N33 Engkilili, yang menurutnya wajar diberikan kepada calon daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk mewakili GPS.
“Tiada lagi kompromi. Keputusan harus dimuktamadkan, tidak perlu berdolak-dalik lagi,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, dalam konteks pilihan raya, pengundi akan menilai prestasi parti yang membentuk kerajaan sebagai antara faktor dalam membuat keputusan di peti undi.
Katanya, pencapaian GPS pada PRN12 yang memenangi 76 daripada 82 kerusi merupakan kejayaan cemerlang yang perlu dipertahankan pada PRN13.
Penyertaan PSB ke dalam GPS melalui Parti Demokratik Progresif (PDP) turut meningkatkan jumlah kerusi GPS kepada 79 daripada 82 kerusi sehingga pembubaran DUN yang berkuat kuasa 26 Oktober ini.
Ujarnya, perkembangan itu turut memberi implikasi terhadap pemilihan calon yang bakal mewakili GPS bagi empat kerusi bekas PSB, sekali gus memerlukan keputusan tuntas daripada kepemimpinan gabungan itu.
Beliau berkata, pembubaran DUN juga amat signifikan berikutan kelulusan Belanjawan Sarawak 2027, yang memberi peluang kepada GPS mendapatkan semula mandat rakyat untuk membentuk kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, belanjawan yang dibentangkan menunjukkan kestabilan fiskal Sarawak, yang boleh menjadi petunjuk kepada prestasi GPS dalam mengurus kewangan negeri secara mampan.
“Dasar fiskal yang kukuh amat penting dalam membina keyakinan rakyat secara khusus dan para pelabur secara amnya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, dalam sains politik, kebergantungan kepada merit pencapaian pentadbiran dan agenda pembangunan, termasuk penyediaan infrastruktur asas atau isu keperluan harian rakyat (bread and butter), mempunyai risiko pulangan yang semakin berkurangan (diminishing returns).
Katanya, keadaan itu berlaku apabila jangkaan pengundi boleh berubah dan beralih kepada isu lain, termasuk peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan siswazah, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta autonomi Sarawak.
Selain itu, katanya, tadbir urus projek mega di Sarawak juga antara isu yang boleh mempengaruhi pertimbangan pengundi.
Jelasnya, rekod pencapaian dalam pembangunan dan usaha menyantuni rakyat kekal penting, namun perkara itu tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keseluruhan jangkaan pengundi.
“Pada zaman ini, rekod pencapaian atau prestasi dalam pembangunan atau menyantuni rakyat Sarawak amat penting, tetapi bukan lagi syarat yang mencukupi.
“Ia melangkaui perkara ini, apabila naratif baharu seperti menjamin kesejahteraan rakyat dengan mengemukakan dasar safety net kepada rakyat Sarawak dan bukan tentang projek lagi,” tambahnya.
Beliau berkata, pendekatan baharu yang memberi penekanan kepada jaminan kesejahteraan dan jaringan keselamatan sosial rakyat perlu melengkapi pencapaian pembangunan yang telah dilaksanakan.
Beliau yakin GPS di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mampu melaksanakan pendekatan berkenaan.
Dick Lembang menambah, kekuatan GPS dalam rundingan di peringkat nasional (bargaining power) bagi memastikan kestabilan politik negara turut memberi kelebihan kepada gabungan itu, khususnya dalam memperjuangkan autonomi Sarawak dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perkara ini boleh dimanfaatkan untuk membina naratif kempen yang lebih berkesan.
“Selain itu, perpecahan serta kekurangan kredibiliti parti pembangkang di Sarawak turut memberi kelebihan kepada GPS dalam persaingan politik negeri.
“Justeru, GPS perlu mengimbangi rekod pembangunan dengan keupayaan menangani isu semasa yang dekat dengan kehidupan rakyat bagi memperkukuh sokongan menjelang PRN Sarawak ke-13,” ujarnya.
Dick Lembang menjelaskan bahawa undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik dijangka memberi kesan signifikan pada PRN kali ini, dengan pengundi muda menjadi kelompok penting dalam menentukan sokongan.
“Dianggarkan 1.9 juta pengundi bakal terlibat, dengan 30 hingga 35 peratus berusia 35 tahun ke bawah, sekali gus menuntut parti politik menggunakan pendekatan kempen yang lebih dinamik seperti YouTube dan TikTok.
“Selain mengetengahkan isu dekat dengan golongan muda, termasuk peluang pekerjaan, gaji, perumahan mampu milik, ketelusan pentadbiran, pendidikan tinggi dan alam sekitar,” tambahnya.
“Bagaimanapun, capaian internet yang terhad di sesetengah kawasan luar bandar boleh menjadi cabaran dalam pelaksanaan kempen digital,” jelasnya.
Dari segi pendekatan, katanya pengundi muda lebih cenderung kepada ruang interaksi terbuka seperti sesi dialog bersama yang membolehkan mereka menyuarakan pandangan dan mengkritik pemimpin secara langsung.
Ditanya mengenai tarikh PRN yang bakal berlangsung, beliau berkata ia dijangka pada akhir November atau awal Disember ini, dengan mengambil kira tempoh kempen yang dianggarkan antara 12 hingga 14 hari.
“Selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa pada 26 Oktober ini, kerajaan sedia ada akan berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government) dan tidak boleh membuat dasar atau undang-undang baharu dalam tempoh berkenaan.
“Proses seterusnya bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan jadual pilihan raya. Dari segi perundangan, PRN Sarawak ke-13 perlu diadakan sebelum 25 Disember 2026, selain pengundi diseru membuat pilihan bijak demi masa depan generasi akan datang,” jelasnya.




