KUCHING: Empat pasukan terbaik bakal membuat perhitungan pada aksi separuh akhir pertama Piala Premier Sarawak 2026 yang berlangsung di dua gelanggang berbeza, esok.
Pasukan Kuching, Samarahan, Serian dan juara bertahan Bintulu akan berentap bagi memburu kelebihan menjelang aksi seterusnya.
Finalis musim lalu, Bintulu dan Samarahan, dijadualkan bertemu di Kompleks Sukan Asajaya, manakala Serian akan menentang Kuching di Kompleks Sukan Balai Ringin.

Kedua-dua perlawanan dijadualkan bermula pada 3.30 petang.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dijangka memberi motivasi tambahan kepada Samarahan dan Serian, yang bakal mendapat sokongan penyokong masing-masing.
Bagaimanapun, peluang keempat-empat pasukan masih terbuka, memandangkan aksi separuh akhir dijangka menyaksikan persaingan sengit untuk mendapatkan kelebihan awal.
Segala-galanya bakal terjawab selepas tamat 90 minit perlawanan pertama esok, sebelum pasukan terlibat meneruskan perjuangan dalam kempen merebut kejuaraan.





